[1] Di hadirat Allah dan Kristus Yesus yang akan menghakimi mereka yang hidup dan yang mati, dan demi kedatangan-Nya serta kerajaan-Nya, aku menyerumu:
[2] Beritakanlah firman Allah, bersedialah pada setiap masa, baik masanya sesuai mahupun tidak. Tunjukkan apa yang salah, tegur dan nasihati mereka dengan seluruh kesabaran dan ajaran,
[3] kerana akan sampai masanya mereka tidak menerima ajaran yang benar, tetapi mengumpulkan ramai guru mengikut kehendak mereka sendiri untuk mengajar apa yang ingin didengar oleh mereka.
[4] Mereka enggan mendengar ajaran yang benar tetapi menumpukan perhatian kepada cerita-cerita dongeng.
[5] Tetapi kamu, berwaspadalah dalam segala hal, tabah menanggung kesusahan, jalankan kerja menyebarkan Injil dan laksanakan tugas yang diamanahkan kepadamu dengan sempurna.
[6] Tentang diriku, kini aku laksana minuman yang sedang dituangkan sebagai persembahan kepada Allah, dan sudah hampir masanya aku pergi menghadap-Nya.
[7] Aku telah berjuang dalam perjuangan mulia ini, aku telah sampai ke garis akhir, aku telah setia dalam iman.
[8] Sekarang mahkota perbenaran telah disediakan untukku. Tuhan, Hakim yang adil itu, akan mengurniakannya kepadaku pada Hari itu, bukan kepadaku sahaja, tetapi kepada semua orang yang merindu kedatangan-Nya.
[9] Berusahalah untuk mengunjungiku dengan segera.
[10] Demas telah meninggalkanku kerana dia mencintai dunia ini, dia telah bertolak ke Tesalonika. Kreskes pula telah pergi ke Galatia dan Titus ke Dalmatia.
[11] Hanya Lukas ada bersamaku. Dapatkan Markus dan bawa dia denganmu, kerana dia dapat membantuku dalam tugasku.
[12] Aku telah mengutus Tikhikus ke Efesus.
[13] Apabila kamu datang kelak, bawa baju jubah yang kutinggalkan dengan Karpus di Troas dan juga kitab-kitabku, terutamanya gulungan kulit.
[14] Aleksander, tukang tembaga itu, telah banyak melakukan kejahatan terhadapku. Semoga Tuhan membalasnya setimpal dengan perbuatannya.
[15] Kamu juga harus waspada dengannya, kerana dia menentang keras perkhabaran kita.
[16] Ketika aku membela diriku pada kali pertama, tiada seorang pun berdiri di sisiku, semuanya meninggalkanku. Semoga Allah tidak menyalahkan mereka kerananya.
[17] Tetapi Tuhan menyertaiku dan memberiku kekuatan, supaya berita baik dapat dikhabarkan sepenuhnya melaluiku, dan semua bangsa asing bukan daripada bani Israel dapat mendengarnya. Juga aku telah diselamatkan daripada mulut singa.
[18] Tuhan akan menyelamatkanku daripada segala perbuatan durjana dan memeliharaku untuk kerajaan-Nya di syurga. Segala kemuliaan bagi-Nya untuk selama-lamanya. Amin.
[19] Sampaikan salamku kepada Priskila dan Akwila, serta keluarga Onesiforus.
[20] Erastus tinggal di Korintus, tetapi Trofimus kutinggalkan di Miletus kerana dia sakit.
[21] Cubalah sedaya upayamu untuk datang sebelum musim dingin. Ebulus berkirim salam kepadamu, demikian juga Pudens, Linus, Klaudia dan semua saudara seiman yang lain.
[22] Semoga Tuhan bersama rohmu. Semoga kasih kurnia Allah menyertaimu.