[1] Anakku, kuatkan dirimu dengan kasih kurnia yang ada dalam Kristus Yesus.
[2] Segala yang telah kaudengar daripadaku di hadapan saksi yang ramai, sampaikan kepada orang setia yang dapat mengajarkannya kepada orang lain pula.
[3] Kamu mestilah ikut serta menanggung kesusahan sebagai seorang askar yang baik di bawah Kristus Yesus.
[4] Seseorang yang memegang tugas dalam peperangan tidak akan melibatkan dirinya dengan hal ehwal kehidupan ini, supaya dia mendapat keredaan orang yang mengambilnya sebagai askar.
[5] Demikian juga jika seseorang menyertai pertandingan olahraga, dia tidak akan mendapat mahkota kemenangan melainkan dia bertanding mengikut semua peraturan.
[6] Petani yang telah bertungkus-lumus, pasti dialah yang pertama menikmati hasil tanaman.
[7] Fikirkan kata-kataku kerana Tuhan akan mengurniaimu pengertian dalam semua perkara.
[8] Ingatlah bahawa Yesus Kristus, keturunan Daud, telah dibangkitkan daripada kematian menurut Injil yang kusampaikan,
[9] yang kerananya aku menderita seolah-olah aku seorang penjahat, sehingga dipenjarakan. Tetapi firman Allah tidak mungkin dipenjarakan.
[10] Oleh itu, aku menanggung segalanya untuk mereka yang terpilih, supaya mereka juga mendapat penyelamatan dalam Kristus Yesus dengan kemuliaan yang kekal.
[11] Kata-kata ini benar: Jika kita mati bersama-Nya, kita juga akan hidup bersama-Nya;
[12] jika kita tabah, kita juga akan memerintah bersama-Nya. Jika kita menyangkal-Nya, Dia juga akan menyangkal kita;
[13] jika kita tidak setia, Dia tetap setia, Dia tidak boleh menyangkal diri-Nya.
[14] Ingatkan mereka tentang segala ini. Pesan kepada mereka di hadapan Allah supaya jangan bertengkar sia-sia tentang kata-kata, sehingga membinasakan orang yang mendengar.
[15] Berusahalah supaya ternyata kamu diredai Allah, seorang pekerja yang tidak perlu berasa malu, yang menyebarkan kebenaran dengan sewajarnya.
[16] Jauhi percakapan yang bercorak duniawi dan sia-sia, kerana ini akan menambah kemungkaran.
[17] Kata-kata mereka akan merebak seperti penyakit barah, Himeneus dan Filetus termasuk orang begini.
[18] Mereka telah sesat dalam hal kebenaran. Mereka berkata bahawa kebangkitan daripada kematian telah berlalu, dan mereka merosakkan iman sesetengah orang.
[19] Namun demikian, asas kukuh Allah tetap bertapak, diteguhkan dengan materai ini: "Tuhan mengenal siapa milik-Nya," dan "Setiap orang yang menyebut nama Tuhan hendaklah meninggalkan kejahatan."
[20] Tetapi di dalam rumah yang besar bukan hanya ada bekas daripada emas dan perak tetapi juga daripada kayu dan tanah liat, sesetengahnya untuk kegunaan mulia dan sesetengahnya untuk kegunaan cemar.
[21] Dengan demikian, jika seseorang membersihkan dirinya daripada kecemaran, dia akan menjadi bekas untuk kegunaan mulia, berguna kepada Tuannya, dan bersedia untuk melakukan kerja yang baik.
[22] Singkirkan hawa nafsu muda. Berusaha mengamalkan perbenaran, iman, kasih dan kesejahteraan bersama mereka yang menyeru Tuhan dengan hati yang suci.
[23] Jauhi perbahasan yang sia-sia dan jahil, kerana kamu tahu semua ini mencetuskan perkelahian.
[24] Hamba Tuhan tidak harus berkelahi. Sebaliknya, mereka mestilah lemah lembut kepada semua orang, pandai mengajar, sabar, dan
[25] dengan rendah hati menegur orang yang menentang, semoga Allah membukakan hati mereka untuk bertaubat supaya mereka mengenal kebenaran,
[26] lalu mereka menjadi waras semula dan terlepas daripada cengkaman Iblis yang telah memerangkap mereka untuk melakukan kehendaknya.