[1] Daripada Paulus, rasul Kristus Yesus, dengan kehendak Allah, menurut apa yang telah dijanjikan, iaitu hidup dalam Kristus Yesus,
[2] Kepada Timotius, anakku yang dikasihi: Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus, Tuhan kita, menganugerahimu kasih kurnia, belas kasihan dan damai sejahtera.
[3] Aku bersyukur kepada Allah yang kusembah dengan hati nurani yang suci sebagaimana telah dilakukan oleh nenek moyangku. Aku sentiasa mengingatimu dalam doaku siang malam.
[4] Apabila aku mengenang air matamu, aku sungguh ingin bertemu kembali denganmu supaya hatiku dipenuhi rasa bahagia.
[5] Aku juga mengingati imanmu yang tulus ikhlas, yang mula tersemai dalam jiwa nenekmu Lois dan ibumu Eunike, dan aku yakin bertapak dalam dirimu juga.
[6] Oleh itu, aku mengingatkanmu supaya menggerakkan kurnia Allah yang berada dalam dirimu sejak aku meletakkan tangan ke atasmu.
[7] Allah tidak memberi kita roh ketakutan, tetapi kuasa, kasih dan tatatertib.
[8] Oleh yang demikian, janganlah berasa malu untuk memberikan kesaksian tentang Tuhan kita atau malu bahawa aku terpenjara kerana-Nya, tetapi ikut serta menanggung penderitaan kerana Injil menurut kuasa Allah.
[9] Allah menyelamatkan kita dan memanggil kita untuk hidup suci, bukanlah kerana amalan yang telah kita lakukan, tetapi kerana tujuan dan kasih kurnia-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepada kita dalam Kristus Yesus sebelum permulaan zaman.
[10] Sekarang segala ini telah dinyatakan dengan kedatangan Penyelamat kita Kristus Yesus, yang melenyapkan kematian dan memberikan penerangan tentang hidup kekal selama-lamanya melalui Injil.
[11] Aku telah ditugaskan menjadi seorang daripada pemberita Injil, rasul, dan guru.
[12] Oleh itu, aku menanggung segala penderitaan ini. Namun demikian, aku tidak berasa malu, kerana aku tahu akan Tuhan yang kupercayai dan aku yakin Dia dapat memelihara apa yang kuserahkan kepada-Nya hingga pada Hari itu.
[13] Berpegang teguhlah kepada rangkaian kata-kata benar yang telah kamu dengar daripadaku, dengan iman dan kasih dalam Kristus Yesus.
[14] Peliharalah perkara baik yang diamanahkan kepadamu dengan Roh Kudus yang berada dalam diri kita.
[15] Kamu tahu bahawa semua yang di Asia telah berpaling daripadaku, termasuk Figelus dan Hermogenes.
[16] Semoga Tuhan menunjukkan belas kasihan kepada Onesiforus sekeluarga, kerana dia sering menyegarkan tubuh dan jiwaku, serta tidak malu bahawa aku dipenjarakan,
[17] malah apabila dia tiba di Roma, dia telah mencariku sedaya upaya sehingga bertemu.
[18] Semoga Tuhan mengurniainya supaya mendapat belas kasihan daripada-Nya pada Hari itu! Engkau cukup mengetahui pelbagai cara dia telah menolongku di Efesus.