[1] Akhirnya, saudara-saudaraku, doakanlah kami, semoga Firman Tuhan segera tersebar dan dimuliakan, seperti dalam kalanganmu dahulu.
[2] Doakan semoga Allah menyelamatkan kami daripada orang yang mungkar dan durjana, kerana bukan semua orang mempunyai iman.
[3] Tetapi Tuhan setia dan akan menguatkan kamu serta melindungimu daripada si durjana.
[4] Kami mempunyai keyakinan dalam Tuhan tentang kamu, bahawa kamu sedang dan akan terus mengamalkan apa yang telah kami ajarkan kepadamu.
[5] Semoga Tuhan membimbing hatimu ke arah kasih Allah dan ketabahan Kristus.
[6] Tetapi, saudara-saudaraku, kami memerintahkan kamu dengan nama Tuhan Yesus Kristus supaya menjauhkan diri daripada setiap saudara yang hidup malas dan tidak menurut ajaran yang telah kami berikan.
[7] Kamu tahu bahawa kamu harus mengikut teladan kami. Kami tidak hidup malas ketika bersamamu dahulu.
[8] Kami juga tidak mendapatkan makanan daripada orang lain dengan percuma. Sebaliknya, kami bertungkus-lumus siang malam supaya tidak membebankan sesiapa pun antara kamu.
[9] Bukan kerana kami tidak berhak menuntut bantuanmu, tetapi untuk menjadi teladan kepadamu.
[10] Sewaktu kami bersamamu, kami telah memberikan perintah ini: "Sesiapa yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan."
[11] Kami mendengar ada di antaramu orang yang hidup malas, langsung tidak bekerja tetapi mencampuri urusan orang.
[12] Dengan nama Tuhan Yesus Kristus kami memerintahkan dan menyeru orang begitu supaya bekerja sewajarnya, menjaga hal masing-masing dan mencari nafkah sendiri.
[13] Tetapi kamu, saudara-saudaraku, janganlah jemu berbuat baik.
[14] Jika sesiapa tidak mengikut apa yang kami tuliskan di dalam surat ini, perhatikan dia dan jangan bergaul dengannya, supaya dia berasa malu.
[15] Namun demikian, jangan pula anggap dia sebagai musuh. Sebaliknya nasihatilah dia sebagai saudaramu.
[16] Semoga Tuhan, sumber segala kesejahteraan, sentiasa mengurniaimu kesejahteraan dalam segala hal. Tuhan bersama kamu semua.
[17] Salam daripada Paulus, kutulis dengan tanganku sendiri. Inilah tanda dalam setiap surat: demikianlah kutulis.
[18] Semoga kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus menyertai kamu semua.