[1] Sekarang, saudara-saudaraku, tentang kedatangan Tuhan kita Yesus Kristus dan betapa kita akan dikumpulkan bersama-Nya kelak, kami menyerumu,
[2] janganlah kamu mudah keliru atau goyah jika orang berkata hari Tuhan sudah tiba kerana kononnya kami yang mengatakan begitu melalui nubuat, ajaran atau surat.
[3] Jangan sekali-kali biarkan sesiapa memperdayamu kerana hari itu tidak akan datang sebelum berlakunya kemurtadan dan manusia leluasa, iaitu anak kebinasaan menampilkan diri.
[4] Dia akan menentang dan meninggikan dirinya daripada semua yang disembah manusia. Dia akan duduk di dalam bait Allah dan mengisytiharkan dirinya sebagai Allah.
[5] Ingatkah kamu ketika aku masih bersamamu dahulu, aku telah memberitahumu segala ini?
[6] Kini kamu tahu apa yang menahannya sekarang, supaya manusia itu tampil pada waktu yang telah ditentukan baginya.
[7] Kuasa rahsia keleluasaan sudah pun mula bertindak. Hanya yang menahannya sekarang akan terus berbuat demikian sehingga disingkirkan.
[8] Kemudian manusia leluasa itu akan ternyata dan Tuhan Yesus akan membunuhnya dengan hembusan nafas dari mulut-Nya dan membinasakannya dengan sinar gemilang kedatangan-Nya.
[9] Datangnya manusia leluasa itu adalah hasil usaha Iblis, dengan membawa kuasa, tanda dan keajaiban palsu,
[10] serta tipu helah durjana untuk menyesatkan orang yang binasa kerana mereka enggan menerima dan mengasihi kebenaran yang dapat menyelamatkan mereka.
[11] Oleh yang demikian Allah menghantar pengaruh yang akan menyesatkan mereka sehingga mereka mempercayai apa yang tidak benar.
[12] Dengan itu semua yang tidak mempercayai apa yang benar dan gembira melakukan perkara yang salah akan dihukum.
[13] Tetapi kami mesti sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu, saudara-saudara yang dikasihi oleh Tuhan, kerana dari mulanya Allah telah memilih kamu untuk diselamatkan melalui penyucian dengan Roh Kudus dan kepercayaan terhadap apa yang benar.
[14] Allah memanggil kamu melalui Injil yang kami sampaikan kepadamu, supaya mendapat kemuliaan Tuhan kita Yesus Kristus.
[15] Oleh itu, saudara-saudaraku, berdirilah dengan kukuh dan berpegang teguh pada segala ajaran yang telah kami sampaikan secara lisan atau melalui surat.
[16] Semoga Tuhan kita Yesus Kristus sendiri dan Allah Bapa kita, yang mengasihi kita dan menetapkan hati serta meneguhkan harapan baik kita selama-lamanya dengan kasih kurnia-Nya,
[17] memberimu perangsang dan kekuatan untuk berbuat dan mengatakan yang baik.