Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:24

[1] Daripada Paulus, Silwanus dan Timotius, Kepada jemaah di Tesalonika dalam Allah Bapa kita dan dalam Tuhan Yesus Kristus:

[2] Semoga kasih kurnia dan kesejahteraan Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus menyertaimu.

[3] Kami mesti sentiasa bersyukur kepada Allah keranamu, saudara-saudaraku. Ini memang sepatutnya, kerana imanmu bertambah teguh dan kamu semakin kasih-mengasihi.

[4] Dengan demikian kami berbangga denganmu di antara jemaah Allah kerana kesabaran dan imanmu menanggung segala penganiayaan serta kesengsaraan.

[5] Segala ini bukti nyata penghakiman yang adil daripada Allah, supaya kamu dikira layak memasuki kerajaan Allah, yang untuknya kamu telah menderita.

[6] Allah akan melakukan keadilan, membalas dengan kesengsaraan terhadap mereka yang menyebabkan kamu sengsara, dan

[7] Dia akan memberikan kelegaan kepadamu yang menderita dan juga kepada kami apabila Tuhan Yesus muncul dari syurga diiringi malaikat-malaikat perkasa-Nya dengan api yang menyala.

[8] Dia mengenakan hukuman kepada mereka yang tidak mengenal Allah, dan mereka yang tidak taat akan Injil Tuhan kita Yesus Kristus.

[9] Mereka akan dihukum dengan kebinasaan selama-lamanya, tersingkir dari hadirat Tuhan kita dan kemuliaan kuasa-Nya.

[10] Semua itu akan berlaku apabila Dia datang, pada hari itu, untuk dimuliakan oleh murid-murid-Nya yang salih dan untuk diberi penghormatan oleh semua orang beriman. Ini termasuk kamu kerana kamu percaya kepada kesaksian kami antara kamu.

[11] Oleh itu, kami sentiasa berdoa untukmu supaya Allah kita menganggapmu layak dipanggil, dan supaya Dia memenuhi segala hasratmu berbuat baik untuk-Nya serta menyempurnakan segala usaha imanmu dengan kuasa-Nya.

[12] Dengan demikian, nama Yesus, Tuhan kita, akan kamu muliakan dan kamu akan dimuliakan oleh-Nya, dengan kasih kurnia Allah kita dan Tuhan Yesus Kristus.

2 Tesalonika — Chapters