[1] Pada hari keempat bulan Kislew, bulan kesembilan, dalam tahun keempat pemerintahan Raja Darius, TUHAN memberikan perkhabaran kepadaku.
[2] Penduduk Betel telah mengutus Sarezer dan Regem-Melekh serta anak buah mereka ke Rumah TUHAN Yang Maha Kuasa untuk memohon berkat TUHAN.
[3] Mereka juga disuruh bertanya kepada para imam dan nabi, “Adakah kami masih perlu meratapi kemusnahan Rumah TUHAN dengan berpuasa pada setiap bulan kelima, seperti yang telah kami lakukan selama bertahun-tahun?”
[4] Inilah perkhabaran TUHAN yang datang kepadaku.
[5] Dia berfirman, “Beritahulah seluruh penduduk negeri ini dan para imam bahawa puasa dan ratapan yang dilakukan mereka pada bulan kelima dan ketujuh selama tujuh puluh tahun ini, bukanlah penghormatan bagi-Ku.
[6] Apabila mereka makan dan minum, perbuatan itu pun untuk keseronokan mereka sendiri.”
[7] Itulah yang difirmankan TUHAN melalui nabi-nabi pada zaman lampau, ketika Yerusalem masih didiami dan penduduknya makmur. Pada masa itu orang bukan hanya tinggal di pekan-pekan di sekitar kota, tetapi juga di bahagian selatan dan di kaki bukit di sebelah barat.
[8] TUHAN memberikan perkhabaran ini kepada Zakharia,
[9] “Pada masa dahulu, Aku memberikan perintah ini kepada umat-Ku, ‘Kamu mesti berlaku adil, baik hati, dan berbelas kasihan kepada sesama kamu.
[10] Jangan tindas balu, anak yatim piatu, orang asing yang menetap di tengah-tengah kamu, atau sesiapa sahaja yang dalam keadaan susah. Jangan rancangkan perkara yang jahat terhadap sesama kamu.’
[11] Tetapi umat-Ku keras kepala dan tidak mahu mendengarkan perintah-Ku; mereka menutup telinga supaya tidak mendengar.
[12] Mereka mengeraskan hati sehingga tidak menurut ajaran yang telah Kuberikan kepada mereka dengan perantaraan nabi-nabi dahulu. Oleh itu Aku sangat murka.
[13] Aku tidak menjawab doa mereka kerana mereka tidak mahu mendengar ketika Aku berfirman.
[14] Seperti angin ribut, Aku menyelerakkan mereka sehingga mereka terpaksa tinggal di negeri asing. Tanah yang subur ini telah menjadi tandus, sunyi sepi, dan tidak berpenghuni.”