[1] Dalam penglihatan yang lain, TUHAN menunjukkan Imam Agung Yosua kepadaku. Imam Agung Yosua sedang berdiri di hadapan malaikat TUHAN. Iblis yang telah bersedia untuk menuduh Yosua, berdiri di sebelah Yosua.
[2] Malaikat TUHAN berkata kepada Iblis, “Semoga TUHAN menghukum engkau, hai Iblis! Semoga TUHAN yang mengasihi Yerusalem menghukum engkau. Orang ini bagaikan puntung kayu yang ditarik dari api.”
[3] Yosua berdiri di situ dengan pakaian yang sangat kotor.
[4] Malaikat itu berkata kepada pembantu-pembantunya di syurga, “Buanglah pakaian kotor yang dipakai orang ini.” Kemudian dia berkata kepada Yosua, “Aku telah membuang dosamu; aku akan memberi engkau pakaian baru.”
[5] Dia memerintahkan pembantu-pembantunya memasang serban bersih pada kepala Yosua, lalu mereka melakukannya. Selepas itu mereka mengenakan pakaian baru pada Yosua sementara malaikat TUHAN berdiri di situ.
[6] Kemudian malaikat TUHAN itu memberitahu Yosua
[7] firman TUHAN Yang Maha Kuasa, “Jika engkau mematuhi hukum-Ku dan melakukan tugas yang Aku berikan kepadamu, engkau boleh melanjutkan tugas sebagai pemimpin di dalam Rumah-Ku dan juga sebagai pengurus halamannya. Aku akan mendengarkan doamu, seperti Aku mendengarkan doa para malaikat yang di hadirat-Ku.
[8] Dengarlah hai Imam Agung Yosua, dan juga kamu imam-imam yang menjadi rakannya, kamu semua lambang masa depan yang baik. Pada masa itu, Aku akan mengutus hamba-Ku yang disebut ‘Tunas’.
[9] Aku akan meletakkan sebuah batu bersegi tujuh di hadapan Yosua. Aku akan mengukirkan tulisan-tulisan pada batu itu. Dalam satu hari, Aku akan membuang dosa negeri ini.
[10] Apabila hari itu tiba, setiap orang akan menjemput jirannya datang dan menikmati kedamaian dan keamanan di tengah-tengah ladang anggur dan pokok ara kamu.”