[1] Aku datang ke tamanku, hai kekasih dan pengantinku, aku mengumpulkan mur dan rempahku; aku makan madu dan sarang lebah maduku, aku minum susu dan wainku. Makanlah, hai sahabat-sahabat, dan minumlah sehingga kamu mabuk asmara.
[2] Aku tidur, tetapi hatiku berjaga. Dengarlah, kekasihku mengetuk pintu. Benarkanlah aku masuk, hai sayangku, merpatiku, buah hatiku. Kepalaku basah kerana embun, dan rambutku penuh titisan embun malam.
[3] Pakaian telah kutanggalkan; mengapakah aku harus memakainya lagi? Kaki pun telah kucuci; mengapakah aku harus mengotorkannya lagi?
[4] Berdebar-debar hatiku, kerana kekasihku memegang tombol pintu.
[5] Maka bangunlah aku hendak membuka pintu bagi kekasihku. Mur menitis dari tangan dan jariku membasahi tombol pintu.
[6] Aku membuka pintu untuk kekasihku, tetapi dia sudah pergi. Aku sangat merindukan suaranya. Aku mencari dia tetapi tidak menemuinya; aku memanggil dia, tetapi dia tidak menyahut.
[7] Peronda-peronda kota menemui aku; mereka memukul dan melukai aku; pengawal di tembok kota merampas selendangku.
[8] Berjanjilah, hai puteri-puteri Yerusalem, jika kamu menjumpai kekasihku, beritahulah dia bahawa aku sakit asmara.
[9] Hai gadis yang paling jelita, adakah kekasihmu lebih baik daripada kekasih lain? Apakah kelebihan kekasihmu sehingga kami harus berjanji kepadamu?
[10] Kekasihku kacak dan gagah; unggul antara sepuluh ribu orang.
[11] Kepalanya seperti emas, emas murni, rambutnya berombak-ombak, hitam seperti burung gagak.
[12] Matanya seperti burung merpati di mata air, merpati bermandi susu, di tebing anak sungai.
[13] Pipinya bagaikan kebun rempah yang wangi. Bibirnya bagaikan bunga bakung yang menitiskan mur cecair.
[14] Tangannya elok, dan dia memakai cincin emas dengan permata. Badannya seperti gading bertatah batu nilam.
[15] Kakinya seperti tiang marmar putih, yang beralaskan emas. Perawakannya gagah seperti gunung-gunung di Lebanon, dan anggun seperti pokok sedar.
[16] Amat manis tutur katanya, segala yang ada padanya menawan hatiku. Demikianlah kekasihku dan sahabatku, hai puteri-puteri Yerusalem.