[1] Kidung Agung oleh Raja Salomo.
[2] Ciumlah aku dengan bibirmu; cintamu lebih nikmat daripada wain.
[3] Engkau harum semerbak, namamu seperti minyak wangi yang dicurahkan. Oleh itu, gadis-gadis cinta kepadamu.
[4] Cepatlah, bawalah aku bersama-samamu, ya rajaku, bawalah aku ke bilikmu. Kami akan bersukaria kerana engkau, dan memuji cintamu lebih daripada wain; patutlah gadis-gadis cinta kepadamu.
[5] Hai puteri-puteri Yerusalem, sungguhpun aku hitam tetapi aku manis; walaupun aku hitam seperti khemah Kedar, tetapi aku cantik seperti tirai di istana Salomo.
[6] Jangan hina aku kerana kulitku hitam; aku hitam kerana kena sinaran matahari. Saudara-saudaraku marah terhadap aku, dan memaksa aku bekerja di ladang anggur; aku tiada masa menjaga diriku sendiri.
[7] Katakanlah, hai kekasihku, di manakah engkau akan menggembalakan ternakan, di manakah domba berbaring pada tengah hari? Mengapakah aku harus mencari engkau antara kawanan domba kepunyaan gembala lain?
[8] Tidakkah engkau tahu akan tempatnya, hai wanita yang paling jelita? Ikutlah jejak kawanan ternak, dan gembalakanlah anak-anak kambingmu dekat khemah para gembala.
[9] Hai sayangku, engkau laksana kuda betina yang memberahikan kuda jantan penarik kereta kuda raja Mesir.
[10] Pipimu molek dengan perhiasan, lehermu cantik dengan kalung permata.
[11] Kami akan membuat perhiasan emas bagimu, perhiasan yang bertatahkan perak.
[12] Ketika rajaku di perbaringannya, semerbak harum narwastuku.
[13] Kekasihku seperti mur yang harum, waktu dia berbaring di dadaku.
[14] Kekasihku bagaikan serumpun bunga inai di ladang anggur di En-Gedi.
[15] Alangkah cantiknya engkau, hai sayangku, engkau sungguh cantik! Matamu bagaikan mata merpati.
[16] Betapa kacaknya engkau, hai sayangku, engkau sungguh menarik! Rumput hijau menjadi perbaringan kita;
[17] pokok sedar menjadi tiang rumah kita, dan pokok sipres langit-langitnya.