Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:56

[1] Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di seberang Tasik Galilea, di daerah Gerasa.

[2] Sebaik sahaja Yesus turun dari perahu, Dia didatangi oleh seorang lelaki yang keluar dari gua kubur.

[3] Orang itu dirasuk roh jahat dan tinggal di kawasan perkuburan. Tiada seorang pun dapat mengikat dia lagi, walaupun dengan rantai.

[4] Banyak kali kaki dan tangannya dirantai, tetapi dia sentiasa memutuskan rantai itu dan mematahkan belenggu besi pada kakinya. Dia begitu kuat sehingga tiada seorang pun dapat menahaninya.

[5] Siang malam dia berkeliaran di kuburan dan di bukit, sambil berteriak-teriak dan melukai tubuhnya dengan batu.

[6] Dia masih jauh tatkala dia nampak Yesus. Segera dia lari mendekati Yesus lalu sujud di hadapan-Nya.

[7] Dengan suara keras dia berseru, “Hai Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi! Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap aku? Demi Allah, aku memohon, janganlah seksa aku!” (

[8] Dia berkata demikian kerana Yesus berkata kepadanya, “Roh jahat, keluarlah daripada orang ini!”)

[9] Lalu Yesus bertanya kepadanya, “Siapa namamu?” Orang itu menjawab, “ ‘Legiun’ - kerana kami ini banyak sekali.”

[10] Dia memohon dengan sangat supaya Yesus tidak menyuruh roh-roh jahat itu keluar dari kawasan itu.

[11] Dekat tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit.

[12] Roh-roh jahat itu memohon kepada Yesus, “Suruhlah kami masuk ke dalam babi-babi itu.”

[13] Yesus bersetuju. Kemudian roh-roh jahat itu keluar daripada orang itu lalu masuk ke dalam babi-babi itu. Kesemua babi itu - lebih kurang dua ribu ekor - terjun dari pinggir jurang ke dalam tasik lalu tenggelam.

[14] Penjaga-penjaga kawanan babi itu lari dan menyebarkan berita itu di bandar dan di kampung. Lalu penduduk keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku.

[15] Mereka datang kepada Yesus dan nampak orang yang tadinya dirasuk roh jahat, duduk di situ. Dia sudah berpakaian dan fikirannya waras. Mereka semua ketakutan.

[16] Semua orang yang telah menyaksikan perkara itu memberitahu mereka apa yang sudah berlaku kepada orang itu dan kawanan babi itu.

[17] Oleh itu mereka meminta Yesus meninggalkan daerah itu.

[18] Ketika Yesus menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh jahat memohon kepada-Nya, “Guru, benarkanlah saya mengikut guru.”

[19] Tetapi Yesus tidak membenarkan dia ikut. Sebaliknya Yesus berkata kepadanya, “Pulanglah kepada keluargamu dan beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan dan betapa baiknya Dia kepadamu!”

[20] Demikianlah orang itu pergi ke seluruh daerah Sepuluh Kota dan memberitakan apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya. Semua orang yang mendengarnya kehairanan.

[21] Yesus kembali ke seberang tasik. Di pantai tasik itu, banyak sekali orang datang berkumpul di sekeliling Yesus.

[22] Yairus, ketua rumah ibadat tempatan, datang juga dan ketika dia melihat Yesus, dia sujud di hadapan Yesus.

[23] Dia memohon dengan sungguh-sungguh, “Guru, anak perempuan saya sakit tenat. Tolonglah datang dan letakkanlah tangan guru padanya, supaya dia sembuh dan tidak mati!”

[24] Yesus pun pergi bersama-sama Yairus. Orang yang mengikut Yesus amat banyak sehingga Dia diasak dari semua sisi.

[25] Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya selama dua belas tahun.

[26] Dia sudah menghabiskan segala hartanya untuk membayar rawatan doktor, tetapi dia tidak sembuh, malahan semakin parah keadaannya.

[27] Wanita itu telah mendengar banyak hal tentang Yesus. Oleh itu dia datang ke tengah-tengah orang ramai dan mendekati Yesus dari belakang.

[28] “Jika aku dapat menyentuh jubah-Nya,” kata wanita itu dalam hati, “tentu aku akan sembuh.”

[29] Dia menyentuh jubah Yesus dan seketika itu juga pendarahannya berhenti. Wanita itu berasa dirinya sudah sembuh.

[30] Pada saat itu juga Yesus menyedari ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya. Yesus berpaling kepada orang ramai dan bertanya, “Siapa yang menyentuh jubah-Ku?”

[31] Pengikut-pengikut-Nya berkata, “Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Guru. Mengapa Guru bertanya siapa yang menyentuh Guru?”

[32] Tetapi Yesus memandang di sekeliling-Nya untuk mencari orang yang telah menyentuh-Nya.

[33] Wanita itu tahu akan apa yang telah berlaku pada dirinya. Dia gementar kerana takut, lalu sujud di hadapan Yesus dan memberitahu Dia segala-galanya.

[34] Yesus berkata kepada wanita itu, “Hai anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera. Kamu sihat sekarang!”

[35] Semasa Yesus berkata demikian, beberapa orang pesuruh datang dari rumah Yairus dan memberitahu Yairus, “Anak perempuan tuan sudah meninggal. Tak usah tuan susahkan guru lagi.”

[36] Yesus tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh mereka, tetapi Dia berkata kepada Yairus, “Jangan takut, percayalah kepada-Ku!”

[37] Setelah itu Yesus tidak membenarkan sesiapa pun mengikut Dia kecuali Petrus, Yakobus, dan Yohanes, saudara Yakobus.

[38] Apabila mereka tiba di rumah Yairus, Yesus melihat keadaan yang kecoh serta mendengar tangisan dan ratapan yang kuat.

[39] Lalu Yesus masuk dan berkata kepada mereka, “Mengapa sangat kecoh dan mengapa menangis? Anak itu tidak mati; dia hanya tidur!”

[40] Mereka mula mentertawakan Yesus. Oleh itu Yesus menyuruh mereka semua keluar. Dia mengajak ibu bapa anak itu serta ketiga-tiga orang pengikut-Nya masuk ke dalam bilik tempat anak itu berbaring.

[41] Yesus memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, “Talitha kum,” yang bererti, “Anak perempuan, Aku berkata kepadamu: Bangun!”

[42] Anak perempuan itu segera bangun lalu berjalan. (Umurnya dua belas tahun.) Ketika peristiwa itu berlaku, mereka semua sangat kagum.

[43] Tetapi dengan tegas Yesus melarang mereka memberitahukan hal itu kepada sesiapa pun. Lalu Dia berkata, “Berilah anak ini makanan.”

Markus — Chapters