Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 8:56

[1] Kemudian Yesus meninggalkan tempat itu. Dia pergi ke daerah Yudea dan daerah di seberang Sungai Yordan. Orang ramai berkumpul lagi di sekeliling Yesus, dan seperti biasa Yesus mula mengajar mereka.

[2] Beberapa orang Farisi datang hendak memerangkap Dia. Mereka bertanya, “Menurut Taurat kita, bolehkah orang menceraikan isteri?”

[3] Yesus menjawab dengan bertanya, “Apakah perintah yang diberikan oleh Musa kepada kamu?”

[4] Mereka menjawab, “Musa membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai.”

[5] Yesus berkata kepada mereka, “Musa menulis perintah itu kerana kamu terlalu sukar diajar.

[6] Tetapi pada mula-mulanya, pada waktu Allah menciptakan manusia, ada dikatakan bahawa ‘Allah menjadikan mereka lelaki dan perempuan.

[7] Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya lalu bersatu dengan isterinya,

[8] dan kedua-duanya menjadi satu.’ Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang tetapi satu.

[9] Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia!”

[10] Setelah mereka pulang ke rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada Yesus tentang hal itu.

[11] Yesus berkata kepada mereka, “Seorang lelaki yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, berzina terhadap isterinya yang pertama.

[12] Demikian juga seorang wanita yang menceraikan suaminya lalu berkahwin dengan lelaki lain, pun berzina.”

[13] Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kanak-kanak itu dan memberkati mereka. Tetapi pengikut-pengikut-Nya memarahi mereka.

[14] Ketika Yesus nampak hal ini, Dia marah lalu berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah.

[15] Ingatlah! Orang yang tidak menyambut Pemerintahan Allah seperti seorang kanak-kanak, tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah.”

[16] Lalu Yesus memeluk semua kanak-kanak di situ, kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada tiap-tiap anak, dan memberkati mereka.

[17] Ketika Yesus meneruskan perjalanan-Nya, seorang lelaki berlari ke arah Yesus. Dia sujud di hadapan Yesus lalu bertanya, “Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?”

[18] “Mengapa kamu mengatakan Aku baik?” tanya Yesus. “Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah.

[19] Kamu tahu akan hukum Allah: ‘Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; jangan menipu; hormatilah ibu bapamu.’ ”

[20] “Guru,” kata orang itu, “sejak muda saya telah menurut semua hukum itu.”

[21] Dengan penuh kasih Yesus memandang orang itu lalu berkata, “Tinggal satu perkara sahaja yang perlu kamu lakukan. Pergilah jual segala yang kamu miliki; berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.”

[22] Apabila orang itu mendengar kata-kata Yesus, mukanya muram. Dia terus meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya.

[23] Yesus memandang pengikut-pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, “Alangkah susahnya bagi orang kaya menikmati Pemerintahan Allah!”

[24] Pengikut-pengikut-Nya terperanjat mendengar kata-kata Yesus itu. Tetapi Yesus berkata pula, “Hai anak-anak-Ku, memang susah untuk menikmati Pemerintahan Allah!

[25] Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.”

[26] Pengikut-pengikut Yesus hairan mendengar kata-kata itu, lalu mereka bertanya sesama sendiri, “Jika demikian, siapakah yang boleh diselamatkan?”

[27] Yesus memandang mereka lalu menjawab, “Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak mustahil bagi Allah kerana Allah dapat melakukan segala perkara.”

[28] Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru.”

[29] “Betul!” kata Yesus, “Percayalah kepada-Ku: Sesiapa yang meninggalkan rumah tangganya, atau saudara lelakinya atau saudara perempuannya, atau ibunya, atau bapanya, atau anak-anaknya, atau ladangnya kerana Aku dan kerana Berita Baik itu,

[30] akan menerima lebih banyak lagi pada zaman ini. Orang itu akan menerima seratus kali ganda rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu, anak-anak, ladang, dan juga penganiayaan. Pada zaman yang akan datang orang itu akan beroleh hidup sejati dan kekal.

[31] Tetapi banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu.”

[32] Yesus dan pengikut-pengikut-Nya sedang dalam perjalanan ke Yerusalem. Yesus berjalan di hadapan, sementara pengikut-pengikut-Nya mengikuti-Nya dengan cemas. Orang ramai yang mengikut mereka pun takut. Sekali lagi Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya ke tepi, lalu berkata kepada mereka tentang apa yang akan berlaku terhadap diri-Nya.

[33] “Dengarlah,” kata-Nya, “Kita sekarang sedang menuju ke Yerusalem. Di situ Anak Manusia akan diserahkan kepada para ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya, lalu menyerahkan Dia kepada orang bukan Yahudi.

[34] Mereka akan mengolok-olok Dia, meludahi Dia, menyesah Dia, dan membunuh Dia. Tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula.”

[35] Lalu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus datang kepada Yesus. “Guru,” kata mereka, “ada satu perkara yang kami hendak Guru lakukan untuk kami.”

[36] “Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untuk kamu?” tanya Yesus.

[37] Mereka menjawab, “Apabila Guru bertakhta dalam kemuliaan, benarkanlah kami duduk di sebelah kanan dan kiri Guru.”

[38] Yesus berkata kepada mereka, “Kamu tidak mengetahui apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum? Sanggupkah kamu mengalami baptisan penderitaan yang akan Aku alami?”

[39] “Sanggup,” jawab mereka. Yesus berkata kepada mereka, “Memang kamu akan minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum dan kamu akan mengalami baptisan penderitaan seperti yang akan Aku alami.

[40] Tetapi Aku tidak berhak menentukan orang yang akan duduk di sebelah kanan atau kiri-Ku. Allah yang menentukan siapa orangnya yang akan duduk di tempat itu.”

[41] Ketika sepuluh orang pengikut-Nya yang lain mendengar hal itu, mereka marah terhadap Yakobus dan Yohanes.

[42] Yesus memanggil mereka semua lalu berkata, “Kamu tahu bahawa para penguasa bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat. Para pemimpin mereka selalu menekan rakyat.

[43] Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Jika seorang antara kamu hendak menjadi besar, dia harus melayani orang lain.

[44] Jika seorang antara kamu hendak menjadi yang pertama, dia harus menjadi hamba kamu semua.

[45] Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani orang serta menyerahkan nyawa-Nya untuk membebaskan banyak orang.”

[46] Mereka tiba di Yerikho. Ketika Yesus meninggalkan kota itu dengan pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai, ada seorang buta yang duduk minta sedekah di pinggir jalan. Namanya Bartimeus anak Timeus.

[47] Apabila orang buta itu mendengar bahawa yang sedang lalu di situ adalah Yesus orang Nasaret, dia mula berseru, “Yesus, Anak Daud! Kasihanilah hamba!”

[48] Orang ramai memarahi dia dan menyuruh dia diam. Tetapi lebih keras lagi dia berseru, “Anak Daud, kasihanilah saya!”

[49] Yesus berhenti lalu berkata, “Panggillah dia.” Mereka memanggil orang buta itu. “Jangan kecil hati!” kata mereka. “Bangunlah, Yesus memanggil kamu.”

[50] Orang buta itu pun melempar jubahnya, lalu melompat dan pergi kepada Yesus.

[51] Yesus bertanya kepadanya, “Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untukmu?” Orang buta itu menjawab, “Guru, saya ingin melihat.”

[52] “Pergilah,” kata Yesus, “kamu sembuh kerana kamu percaya kepada-Ku.” Pada saat itu juga orang itu dapat melihat, lalu dia mengikut Yesus di jalan.

Markus — Chapters