[1] Setelah berkata demikian, Yesus menengadah ke langit lalu berkata, “Ya Bapa, sekarang tibalah saatnya. Muliakanlah Anak-Mu, supaya Anak pun boleh memuliakan Bapa.
[2] Engkau sudah memberikan kuasa atas umat manusia kepada Anak-Mu, supaya Anak-Mu memberikan hidup sejati dan kekal kepada semua orang yang Engkau serahkan kepada-Nya.
[3] Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal.
[4] Aku sudah memuliakan Engkau di atas bumi dengan menyelesaikan tugas yang Engkau berikan kepada-Ku.
[5] Ya Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Aku miliki bersama-sama-Mu sebelum dunia ini dijadikan.
[6] Aku sudah menunjukkan Engkau kepada semua orang dari dunia ini yang Engkau serahkan kepada-Ku. Mereka milik-Mu, dan Engkau menyerahkan mereka kepada-Ku. Mereka mentaati firman-Mu,
[7] dan sekarang mereka tahu bahawa semua yang Engkau berikan kepada-Ku datangnya daripada-Mu.
[8] Perkhabaran yang Engkau berikan kepada-Ku sudah Aku sampaikan kepada mereka, dan mereka menerimanya. Mereka tahu bahawa Aku betul-betul datang daripada Engkau dan mereka percaya bahawa Engkau mengutus Aku.
[9] Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia, melainkan untuk semua orang yang sudah Engkau serahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu.
[10] Semua milik-Ku, milik-Mu juga; dan semua milik-Mu, milik-Ku juga. Kemuliaan-Ku dinyatakan melalui mereka.
[11] Sekarang Aku datang kepada-Mu. Aku tidak tinggal lagi di dunia, tetapi mereka masih di dunia. Ya Bapa yang suci, jagalah mereka dengan kekuasaan nama-Mu, nama yang sudah Engkau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku juga satu.
[12] Semasa Aku bersama-sama mereka, Aku menjaga mereka dengan kekuasaan nama-Mu; nama yang Engkau berikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tidak seorang pun daripada mereka sesat, kecuali orang yang memang seharusnya sesat, supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku.
[13] Sekarang Aku datang kepada-Mu. Perkara-perkara ini Aku katakan sementara Aku masih di dunia, supaya mereka boleh merasakan kegembiraan-Ku dengan sepenuhnya.
[14] Aku menyampaikan firman-Mu kepada mereka, lalu dunia membenci mereka kerana mereka bukan milik dunia, sebagaimana Aku pun bukan milik dunia.
[15] Aku tidak meminta Engkau mengeluarkan mereka dari dunia, tetapi Aku meminta Engkau menjaga mereka daripada Si Jahat.
[16] Sebagaimana Aku bukan milik dunia, mereka pun bukan milik dunia.
[17] Jadikanlah mereka milik-Mu yang khas melalui firman-Mu yang benar; firman-Mu selalu benar.
[18] Aku mengutus mereka ke dunia sebagaimana Engkau mengutus Aku ke dunia.
[19] Bagi kepentingan mereka, Aku mengabdikan diri kepada-Mu, supaya mereka pun mengabdikan diri kepada-Mu.
[20] Aku berdoa bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepada-Ku melalui perkhabaran mereka.
[21] Ya Bapa, Aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu, sebagaimana Engkau bersatu dengan-Ku, dan Aku dengan-Mu. Semoga mereka menjadi satu dengan Kita supaya dunia percaya bahawa Engkau mengutus Aku.
[22] Aku memberi mereka kemuliaan yang Engkau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku satu juga;
[23] Aku bersatu dengan mereka dan Engkau bersatu dengan Aku, supaya mereka benar-benar menjadi satu. Lalu dunia akan tahu bahawa Engkau mengutus Aku dan bahawa Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi Aku.
[24] Ya Bapa, Aku ingin supaya mereka yang sudah Engkau serahkan kepada-Ku bersama-sama Aku di tempat Aku ada, supaya mereka boleh melihat kemuliaan yang Engkau berikan kepada-Ku, kerana Engkau mengasihi Aku sebelum dunia ini dijadikan.
[25] Ya Bapa yang adil! Dunia tidak mengenal Engkau, tetapi Aku mengenal Engkau, dan semua orang ini tahu bahawa Engkau mengutus Aku.
[26] Aku sudah menunjukkan Engkau kepada mereka; Aku akan terus berbuat demikian, supaya kasih-Mu kepada-Ku tetap di dalam hati mereka dan supaya Aku bersatu dengan mereka.”