Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:19

[1] Yesus berkata, “Apa yang Aku katakan ini benar: Seorang yang masuk ke kandang domba dengan memanjat tembok dan tidak melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak.

[2] Seorang yang masuk melalui pintu, dialah gembala kawanan domba.

[3] Penjaga kandang membuka pintu baginya, dan kawanan domba mendengar suara gembala yang memanggil nama setiap ekor domba. Lalu gembala itu memimpin kawanan domba ke luar.

[4] Setelah dia membawa kawanan domba itu ke luar, dia berjalan di hadapan dan domba-domba itu mengikuti dia kerana mengenal suaranya.

[5] Kawanan domba itu tidak akan mengikuti orang lain, bahkan akan lari daripadanya kerana tidak mengenal suara orang itu.”

[6] Yesus menceritakan perumpamaan ini, tetapi mereka tidak memahami apa yang dimaksudkan-Nya.

[7] Oleh itu, Yesus berkata lagi, “Apa yang Aku katakan ini benar: Akulah pintu bagi kawanan domba.

[8] Semua yang datang sebelum Aku adalah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mendengarkan suara mereka.

[9] Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui Aku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk dan menjumpai padang rumput.

[10] Pencuri datang hanya untuk mencuri, membunuh, dan merosak. Tetapi Aku datang supaya manusia mendapat hidup, iaitu hidup yang kelimpahan.

[11] Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya.

[12] Seorang upahan yang bukan gembala dan bukan pemilik domba, akan lari meninggalkan kawanan domba manakala dia melihat serigala datang. Oleh itu kawanan domba akan diterkam dan dicerai-beraikan oleh serigala.

[13] Orang upahan itu lari kerana dia bekerja untuk mendapat upah. Dia tidak mempedulikan domba-domba itu.

[14] Akulah gembala yang baik. Sebagaimana Bapa mengenal Aku dan Aku mengenal Bapa, begitu juga Aku mengenal domba-domba-Ku dan mereka pun mengenal Aku. Aku mengorbankan nyawa untuk mereka.

[16] Masih ada domba-domba lain yang juga milik-Ku, tetapi tidak termasuk dalam kawanan ini. Aku juga harus memimpin mereka dan mereka akan mendengarkan suara-Ku. Mereka semuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala.

[17] Bapa mengasihi Aku kerana Aku bersedia menyerahkan nyawa-Ku, supaya Aku boleh menerimanya kembali.

[18] Tidak seorang pun dapat mengambil nyawa-Ku daripada-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berhak menyerahkannya dan Aku berhak mendapatnya kembali. Inilah tugas yang Aku terima daripada Bapa-Ku.”

[19] Kata-kata Yesus menyebabkan orang Yahudi mula bertengkar lagi.

[20] Ramai di kalangan mereka yang berkata, “Dia dirasuk syaitan! Dia gila! Mengapakah kamu mendengarkan dia?”

[21] Tetapi yang lain berkata, “Seorang yang dirasuk syaitan tidak mungkin berkata-kata demikian! Bagaimanakah syaitan dapat mencelikkan mata orang buta?”

[22] Di Yerusalem orang sedang merayakan Perayaan Pentahbisan Rumah Tuhan. Masa itu musim sejuk.

[23] Yesus sedang berjalan di Serambi Salomo di dalam Rumah Tuhan.

[24] Oleh itu orang Yahudi datang berkumpul di sekeliling Yesus. Mereka bertanya, “Berapa lamakah guru mahu membiarkan kami ragu-ragu? Katakanlah dengan terus terang. Adakah guru Penyelamat yang diutus oleh Allah?”

[25] Yesus menjawab, “Aku sudah memberitahu kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Perbuatan yang Aku lakukan dengan kuasa Bapa-Ku memberikan kesaksian tentang Aku.

[26] Kamu tidak mahu percaya kerana kamu bukan domba-domba-Ku.

[27] Domba-domba-Ku mendengarkan suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut Aku.

[28] Aku memberi mereka hidup sejati dan kekal, dan mereka tidak akan binasa. Tidak seorang pun dapat merampas mereka dari tangan-Ku.

[29] Apa yang diberikan oleh Bapa-Ku kepada-Ku lebih besar daripada segala-galanya. Tidak seorang pun dapat merampas mereka daripada tangan Bapa.

[30] Bapa dan Aku satu.”

[31] Kemudian orang Yahudi di situ memungut batu lagi untuk merejam Yesus.

[32] Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Banyak perbuatan baik sudah Aku lakukan untuk kamu dengan kuasa Bapa-Ku. Perbuatan manakah yang menyebabkan kamu mahu merejam Aku?”

[33] Orang Yahudi di situ menjawab, “Kami mahu merejam kamu bukan kerana perbuatanmu yang baik, tetapi kerana kamu mengkufuri Allah! Kamu hanya manusia, tetapi kamu mahu menjadikan dirimu Allah!”

[34] Yesus berkata kepada mereka, “Tidakkah tertulis di dalam Taurat kamu: Allah berfirman, ‘Kamu ilahi’?

[35] Kita tahu bahawa apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku untuk selama-lamanya. Allah menyebut orang yang menerima firman-Nya sebagai ilahi.

[36] Aku ini dipilih dan diutus oleh Bapa ke dunia. Dapatkah kamu katakan Aku mengkufuri Allah kerana Aku mengaku sebagai Anak Allah?

[37] Jika Aku tidak melakukan apa yang dikehendaki oleh Bapa, janganlah percaya kepada-Ku.

[38] Tetapi jika Aku melakukannya, percayalah kepada apa yang Aku lakukan itu, meskipun kamu tidak percaya kepada-Ku. Dengan demikian kamu tahu dan mengerti bahawa Bapa bersatu dengan Aku, dan Aku bersatu dengan Bapa.”

[39] Sekali lagi mereka berusaha menangkap Yesus, tetapi Yesus dapat melepaskan diri.

[40] Yesus kembali ke seberang Sungai Yordan lalu tinggal di sana. Dahulu Yohanes membaptis orang di situ.

[41] Banyak orang datang kepada-Nya. Mereka berkata, “Yohanes tidak melakukan mukjizat, tetapi segala yang dikatakannya tentang orang ini benar.”

[42] Banyak orang di situ percaya kepada Yesus.

Yohanes — Chapters