Skip to content
Opens in a new window

[1] Inilah doa Nabi Habakuk:

[2] Ya TUHAN, aku telah mendengar tentang perbuatan-Mu, rasa kagum memenuhi hatiku. Semoga Engkau melakukan lagi perbuatan-Mu yang ajaib pada zaman kami. Kasihanilah kami walaupun Engkau murka.

[3] Engkau datang lagi dari Edom; Engkau Allah yang suci datang dari perbukitan Paran. Keagungan-Mu meliputi langit; bumi penuh dengan pujian untuk-Mu.

[4] Engkau datang dan bersinar seperti kilat; cahaya memancar dari tangan-Mu, di situlah kuasa-Mu disembunyikan.

[5] Engkau menyuruh penyakit mendahului-Mu dan mengarah maut menyusuli-Mu.

[6] Apabila Engkau berhenti, bumi bergegar; apabila Engkau memandang, bangsa-bangsa gempar. Gunung-gunung yang abadi hancur berkecai; bukit-bukit yang kekal pun mendap, bukit-bukit tempat Engkau berjalan sejak zaman purba.

[7] Aku nampak orang Kusyan ketakutan, dan orang Midian gementar.

[8] Adakah sungai yang menyebabkan Engkau marah, ya TUHAN? Adakah lautan yang menyebabkan Engkau murka? Engkau menunggangi awan dan mengendarai awan ribut, ketika Engkau datang untuk memberikan kemenangan kepada umat-Mu.

[9] Engkau bersiap untuk menggunakan busur-Mu, bersedia untuk melepaskan anak panah-Mu. Bumi merekah dan sungai mengalir.

[10] Apabila gunung-gunung nampak Engkau, semuanya bergoncang; hujan turun mencurah dari langit. Air di bawah bumi menderu dan ombaknya bergelora.

[11] Ketika panah-Mu yang laju berkilat, dan tombak-Mu yang bersinar berkilau-kilauan, matahari dan bulan berhenti beredar.

[12] Dengan murka Engkau menjelajahi bumi; dengan marah Engkau memijak bangsa-bangsa.

[13] Engkau keluar untuk menyelamatkan umat-Mu, untuk menyelamatkan raja pilihan-Mu. Engkau menjatuhkan pemimpin orang jahat, dan memusnahkan semua pengikutnya.

[14] Anak panah-Mu menembusi panglima tenteranya, apabila tenteranya datang seperti angin ribut untuk menyebabkan kami lari bertempiaran. Mereka berasa seronok seperti orang yang dengan sembunyi-sembunyi menindas orang miskin.

[15] Engkau memijak-mijak lautan dengan kuda-Mu, lalu air laut yang bergelora membuih.

[16] Aku mendengar semuanya itu dan aku gementar; bibirku bergetar kerana aku ketakutan. Tubuhku lemah tidak bermaya, kakiku tersandung ketika berjalan. Dengan tenang aku akan menanti waktunya Engkau menghukum orang yang menyerang kita.

[17] Walaupun pokok ara tidak berbunga, dan pokok anggur tidak berbuah, walaupun hasil pokok zaitun menyedihkan, dan ladang gandum mengecewakan, walaupun domba mati semuanya, dan kandang lembu kosong belaka,

[18] aku akan bersukacita dan bergembira selalu, kerana Engkau TUHAN Allah yang menyelamatkan aku.

[19] Engkaulah TUHAN Raja yang memberi aku kekuatan, seperti kaki rusa, kakiku Engkau kukuhkan, dan keselamatanku Engkau jaga di pergunungan.

Habakuk — Chapters