[1] Inilah perkhabaran yang dinyatakan oleh TUHAN kepada Nabi Habakuk.
[2] Ya TUHAN, sampai bilakah aku harus berseru minta pertolongan? Bilakah Engkau akan mendengarkan aku dan menyelamatkan kami daripada keganasan?
[3] Mengapa Engkau membiarkan aku mengalami kesusahan seperti ini? Bagaimana Engkau dapat tahan sabar dengan orang yang melakukan kejahatan? Kehancuran dan keganasan berlaku di sekelilingku. Pergaduhan dan pertengkaran berlaku di merata-rata tempat.
[4] Oleh itu undang-undang lemah dan tidak berguna; keadilan tidak pernah ditegakkan. Orang jahat selalu mengalahkan orang jujur di mahkamah; oleh itu keadilan diputarbalikkan.
[5] Kemudian TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Perhatikanlah bangsa-bangsa di sekitar kamu dan kamu akan hairan serta terperanjat. Tidak lama lagi Aku akan melakukan sesuatu yang tidak mungkin kamu percaya apabila kamu mendengarnya.
[6] Dengarlah! Aku akan menjadikan orang Babilonia berkuasa, bangsa yang bengis dan gopoh. Mereka mara ke seluruh dunia untuk menaklukkan negeri lain.
[7] Mereka menimbulkan ketakutan dan kegentaran di merata-rata tempat. Mereka sangat sombong sehingga beranggapan bahawa semua perbuatan mereka betul dan sah di sisi undang-undang.
[8] Kuda orang Babilonia lebih pantas daripada harimau bintang dan lebih ganas daripada serigala yang lapar. Pasukan askar berkuda Babilonia datang dari negeri-negeri jauh; kuda mereka menderap. Pasukan askar berkuda datang menyerang seperti burung helang menyambar mangsa.
[9] Tentera Babilonia mara dan menyerang dengan ganas; setiap orang ketakutan apabila mereka datang. Tawanan perang mereka sebanyak butir pasir.
[10] Orang Babilonia menghina raja-raja dan mentertawakan para pembesar kerajaan. Tidak ada kubu yang dapat menghalang mereka. Mereka menambak tanah pada tembok kubu, lalu merebutnya.
[11] Kemudian mereka bergegas pergi seperti tiupan angin. Mereka bersalah kerana mendewakan kekuatan sendiri.”
[12] Ya TUHAN, Engkau Allah sejak dahulu. Engkau Allahku yang suci dan kekal. Ya TUHAN, Allahku dan pelindungku, Engkau telah memilih orang Babilonia; Engkau menguatkan mereka supaya dapat menghukum kami.
[13] Tetapi bagaimana Engkau tahan melihat orang yang khianat dan jahat seperti mereka? Engkau terlalu suci untuk memandang kejahatan; Engkau tidak dapat tahan sabar dengan orang yang berbuat salah. Tetapi mengapa Engkau berdiam diri apabila orang Babilonia membinasakan orang yang tidak sejahat mereka?
[14] Mana boleh Engkau memperlakukan manusia seperti ikan atau seperti sekawanan serangga yang tidak mempunyai pemimpin?
[15] Orang Babilonia menangkap orang dengan mata kail, seolah-olah yang ditangkap itu ikan. Orang Babilonia menyeret tawanan mereka di dalam jala sambil bersorak-sorak kerana penangkapan itu!
[16] Bahkan mereka menyembah jala mereka dan mempersembahkan korban kepada jala itu, kerana jala memberi mereka rezeki berlimpah-limpah dan hidup mewah.
[17] Adakah selamanya mereka akan menggunakan pedang dan terus-menerus membinasakan bangsa-bangsa tanpa belas kasihan?