[1] Yakub nampak Esau datang dengan empat ratus orang anak buahnya. Oleh sebab itu dia membahagikan anak-anaknya antara Lea, Rahel, dan kedua-dua orang gundiknya.
[2] Dia menempatkan dua orang gundiknya itu bersama dengan anak-anak mereka di hadapan sekali, kemudian Lea bersama dengan anak-anaknya, lalu Rahel dan Yusuf di belakang sekali.
[3] Yakub berjalan di hadapan mereka semua, dan sambil menghampiri abangnya, dia sujud sampai tujuh kali.
[4] Tetapi Esau berlari mendapatkan Yakub, lalu memeluk dan mencium dia. Kedua-dua mereka bertangis-tangisan.
[5] Ketika Esau nampak semua wanita dan anak-anak itu, dia bertanya, “Siapakah mereka yang ada bersama-samamu ini?” Yakub menjawab, “Mereka itu anak-anak yang dikurniakan Allah kepada saya.”
[6] Kemudian kedua-dua orang gundiknya maju dengan anak-anak mereka, lalu bersujud.
[7] Kemudian Lea serta anak-anaknya datang, dan akhir sekali Yusuf dan Rahel datang, lalu bersujud.
[8] Esau bertanya, “Apakah maksudmu dengan rombongan-rombongan yang saya jumpai tadi?” Yakub menjawab, “Untuk menyenangkan hati abang.”
[9] Tetapi Esau berkata, “Harta saya sudah cukup. Adik tidak perlu memberikan hadiah kepada saya.”
[10] Yakub berkata, “Jika saya menyenangkan hati abang, terimalah hadiah saya itu. Bagi saya, melihat wajah abang sama dengan melihat wajah Allah kerana abang begitu ramah kepada saya.
[11] Saya mohon, terimalah hadiah yang saya bawa itu. Allah sangat baik kepada saya dan memberikan segala sesuatu yang saya perlukan.” Yakub terus-menerus mendesaknya sampai akhirnya Esau menerima hadiah itu.
[12] Kemudian Esau berkata, “Marilah kita bersiap-siap untuk berangkat. Saya akan berjalan bersama-sama kamu.”
[13] Yakub menjawab, “Abang tahu bahawa anak-anak ini lemah, dan saya harus berhati-hati dengan semua ternakan yang sedang menyusui anak. Jika digiring dengan cepat-cepat, walaupun hanya satu hari, semua kawanan binatang itu akan mati.
[14] Berjalanlah lebih dahulu, lalu saya akan mengikut dengan perlahan-lahan. Saya akan berjalan secepat mungkin bersama dengan ternakan dan anak-anak saya, sampai dapat menyusul abang di Edom.”
[15] Esau berkata, “Jika begitu, baiklah saya tinggalkan beberapa orang anak buah saya dengan kamu.” Tetapi Yakub menjawab, “Tidak usahlah bersusah-susah. Saya hanya ingin menyenangkan hati abang.”
[16] Maka pada hari itu Esau berangkat kembali ke Edom.
[17] Tetapi Yakub pergi ke Sukot, lalu mendirikan rumahnya dan tempat berteduh bagi ternakannya. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Sukot.
[18] Dalam perjalanannya dari Mesopotamia, Yakub sampai di kota Sikhem di negeri Kanaan dengan selamat. Di situ dia memasang khemahnya di padang dekat kota.
[19] Padang tempat perkhemahannya itu dibelinya daripada orang keturunan Hamor, bapa Sikhem, dengan harga 100 keping wang perak.
[20] Kemudian dia membina sebuah mazbah di situ dan menamakannya “Allah Israel ialah Allah”.