Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:49

[1] Gayus, sahabat yang aku kasihi! Aku, pemimpin jemaah yang sangat mengasihimu,

[2] berdoa semoga semuanya baik dengan kamu, dan semoga kamu sihat, seperti jiwamu pun sihat.

[3] Aku sangat bersukacita ketika beberapa orang saudara Kristian tiba dan memberitahu aku betapa setianya kamu kepada Allah yang benar. Kamu memang sentiasa hidup menurut ajaran Allah.

[4] Tidak ada yang lebih menggembirakan aku daripada mendengar bahawa anak-anakku hidup menurut ajaran Allah.

[5] Sahabat yang aku kasihi! Kamu sungguh setia dalam kerja yang kamu lakukan untuk saudara-saudara Kristian, bahkan untuk orang Kristian yang belum kamu kenal.

[6] Mereka memberitahu jemaah di sini tentang kasihmu. Tolonglah mereka supaya dapat meneruskan perjalanan dengan cara yang menyenangkan hati Allah.

[7] Kamu harus berbuat demikian kerana dalam tugas untuk memberitakan Kristus, mereka berangkat tanpa menerima bantuan apa-apa pun daripada orang yang tidak mengenal Allah.

[8] Oleh itu, kita orang Kristian, mesti menolong orang seperti itu, supaya kita dapat menjadi rakan sekerja dalam usaha mereka untuk memberitakan ajaran Allah.

[9] Aku sudah menulis sepucuk surat yang pendek kepada jemaah, tetapi Diotrefes yang ingin menjadi pemimpin jemaah, tidak mahu menurut kata-kataku.

[10] Apabila aku datang kelak, aku akan mendedahkan segala sesuatu yang telah dilakukannya, iaitu hal-hal jahat dan dusta yang dikatakannya tentang kami. Tetapi semua itu belum lagi cukup baginya. Dia tidak mahu menerima saudara-saudara Kristian semasa mereka datang. Bahkan dia menghalangi orang yang mahu menyambut saudara-saudara itu, dan dia berusaha untuk menghalau mereka keluar daripada jemaah!

[11] Sahabat yang aku kasihi, janganlah tiru apa yang buruk, tetapi tirulah apa yang baik. Sesiapa berbuat baik, dia milik Allah. Sesiapa berbuat jahat, dia belum mengenal Allah.

[12] Setiap orang memuji Demetrius, bahkan Allah pun memuji dia. Kami juga memuji dia, dan kamu tahu bahawa apa yang kami katakan itu benar.

[13] Banyak lagi yang hendak aku katakan kepadamu, tetapi lebih baik tidak melalui surat.

[14] Aku berharap dapat segera berjumpa denganmu, lalu kita dapat berbincang.

[15] Semoga Tuhan memberkati kamu. Semua sahabatmu di sini mengirim salam. Sampaikan salamku kepada semua sahabat di sana seorang demi seorang.