[1] Kepada puan yang dipilih oleh Allah dan kepada anak-anak puan. Surat ini daripada saya, pemimpin jemaah yang benar-benar mengasihi puan dan anak-anak puan. Bukan hanya saya seorang yang mengasihi puan dan anak-anak puan, tetapi juga semua orang yang mengenal Allah,
[2] kerana Allah ada di dalam hati kita dan menyertai kita selama-lamanya.
[3] Semoga Allah Bapa dan Yesus Kristus, Anak Bapa itu mengurniai kita berkat, rahmat, dan kesejahteraan. Semoga kita memiliki semua itu dengan hati yang tulus dan dengan kasih.
[4] Saya sangat gembira kerana mengetahui beberapa orang antara anak-anak puan hidup menurut ajaran Allah, seperti yang diperintahkan oleh Allah Bapa kepada kita.
[5] Oleh itu, puan, saya meminta supaya kita saling mengasihi. Saya tidak mengemukakan satu perintah baru; perintah ini telah diberikan sejak kita percaya kepada Kristus.
[6] Mengasihi satu sama lain bererti hidup menurut perintah Allah. Inilah perintah yang telah puan dan anak-anak puan dengar sejak permulaan: Puan dan anak-anak puan harus saling mengasihi.
[7] Banyak penipu telah pergi ke seluruh dunia. Mereka tidak mengakui Yesus Kristus datang ke dunia sebagai manusia. Orang semacam itu penipu dan Musuh Kristus.
[8] Oleh itu, berwaspadalah supaya tidak kehilangan apa yang telah kami usahakan untuk puan dan anak-anak puan. Berusahalah supaya puan dan anak-anak puan menerima pahala sepenuhnya daripada Allah.
[9] Sesiapa yang tidak berpegang kepada ajaran Kristus tetapi melampaui ajaran itu, tidak mempunyai Allah. Sesiapa yang berpegang kepada ajaran itu, mempunyai Allah Bapa dan Anak.
[10] Oleh itu, jika sesiapa datang dan memberitakan ajaran yang tidak diajarkan oleh Kristus, janganlah sambut dia ke dalam rumah puan dan anak-anak puan. Janganlah berkata kepadanya, “Salam sejahtera.”
[11] Hal ini demikian, kerana sesiapa yang memberikan salam kepada orang semacam itu, menjadi subahat dalam perbuatannya yang jahat.
[12] Banyak lagi yang hendak saya katakan, tetapi lebih baik tidak melalui surat. Saya berharap dapat melawat puan dan anak-anak puan, dan bercakap dengan puan sendiri, supaya kita benar-benar gembira.
[13] Anak-anak daripada saudara perempuan puan yang juga dipilih oleh Allah, mengirim salam kepada puan.