Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:39

[1] Aku melayangkan pandang dan melihat seseorang lelaki yang memegang tali pengukur.

[2] Lalu aku bertanya, "Ke manakah engkau hendak pergi?" Jawabnya kepadaku, "Hendak mengukur Yerusalem, untuk mengetahui berapakah lebar dan panjangnya."

[3] Sementara malaikat yang berbicara dengan aku itu melangkah maju, satu malaikat lain maju pula menemui dia.

[4] Kepadanya dikatakan, "Larilah, katakanlah kepada pemuda itu, 'Yerusalem akan berdiri seperti kampung tidak bertembok kerana ramainya manusia dan binatang di dalamnya.

[5] Aku sendiri akan menjadi tembok api di sekelilingnya,' demikianlah firman Tuhan. 'Aku akan menjadi kemuliaan di tengah-tengahnya.' "

[6] "Ayuh! Ayuh! Larilah dari Tanah Utara," demikianlah firman Tuhan, "kerana Aku telah mencerai-beraikan kamu ke arah empat mata angin," demikianlah firman Tuhan.

[7] "Ayuh, Sion! Selamatkanlah diri, wahai kamu yang tinggal bersama-sama puteri Babel!"

[8] Beginilah firman Tuhan alam semesta – yang demi kemuliaan-Nya telah mengutus aku – tentang bangsa-bangsa yang menjarah kamu, kerana siapa menyentuh kamu, menyentuh apa yang disayangi-Nya.

[9] "Sesungguhnya, Aku akan menggerakkan tangan-Ku terhadap mereka sehingga mereka menjadi jarahan bagi orang yang dahulunya takluk di bawah mereka." Maka kamu akan tahu bahawa Tuhan alam semesta, telah mengutus aku.

[10] "Wahai puteri Sion, bersorak-sorailah dan bersukacitalah. Sesungguhnya, Aku akan datang dan bersemayam di tengah-tengah kamu," demikianlah firman Tuhan.

[11] "Pada waktu itu banyak bangsa akan mengikatkan diri kepada Tuhan dan menjadi umat-Ku, lalu Aku akan bersemayam di tengah-tengah kamu." Maka engkau akan tahu bahawa Tuhan alam semesta telah mengutus aku kepadamu.

[12] Tuhan akan memiliki Yehuda sebagai bahagian-Nya di tanah suci dan akan memilih Yerusalem lagi.

[13] Wahai segala makhluk, berdiam dirilah di hadapan Tuhan, kerana Dia telah bangkit dari tempat kediaman-Nya yang suci!

Zakharia — Chapters