Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:44

[1] Nasihati jemaahmu supaya taat akan pemerintah dan penguasa, serta sentiasa bersedia melakukan kebaikan.

[2] Larang mereka mengumpat atau bertengkar, dan dorong mereka bersikap ramah-tamah serta lemah lembut kepada semua orang.

[3] Dahulu kita juga bodoh, ingkar dan sesat. Kita dikuasai pelbagai nafsu dan keinginan. Kita hidup dengki-mendengki dan benci-membenci.

[4] Tetapi Allah Penyelamat kita menunjukkan belas ihsan dan kasih-Nya kepada kita.

[5] Allah menyelamatkan kita, bukan kerana perbuatan benar yang kita lakukan, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Dia menyelamatkan kita melalui pentahiran kelahiran semula dan melalui pembaharuan yang dilakukan Roh Kudus.

[6] Allah melimpahkan Roh Kudus itu kepada kita melalui Yesus Kristus, Penyelamat kita.

[7] Maka dengan kasih kurnia-Nya kita sudah diperbenar untuk menjadi anak waris yang mendapat hidup kekal yang kita harapkan.

[8] Kata-kata ini benar. Berikanlah perhatian terhadap hal-hal tersebut, supaya orang yang beriman kepada Allah berusaha sepenuhnya untuk melakukan segala yang baik serta bermanfaat kepada semua orang.

[9] Sebaliknya, jauhilah perbahasan yang sia-sia, perbuatan menyusur galur nenek moyang, pertengkaran dan pertikaian tentang hukum Taurat. Segala ini tidak membawa faedah.

[10] Berikan amaran kepada sesiapa yang menyebabkan perpecahan dalam kalangan jemaah. Nasihati dia sekurang-kurangnya dua kali; jika dia tidak berubah, jauhilah dia.

[11] Kamu tahu bahawa orang yang demikian itu sesat dan berdosa; dia menjatuhkan hukuman atas dirinya sendiri.

[12] Apabila aku mengutus Artemas atau Tikhikus kepadamu, cubalah seberapa daya mengunjungiku di Nikopolis, kerana aku telah membuat keputusan akan berada di situ pada musim dingin.

[13] Berikanlah sepenuh bantuan kepada peguam yang bernama Zenas dan kepada Apolos, supaya mereka dapat memulakan perjalanan tanpa kekurangan apa-apa.

[14] Jemaah kita haruslah mengamalkan kebajikan untuk membantu orang yang memerlukan pertolongan. Dengan demikian bergunalah hidup mereka.

[15] Semua saudara yang bersamaku berkirim salam kepada sahabat-sahabat seiman. Semoga kasih kurnia menyertai kamu semua.

Titus — Chapters