Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:59

[1] Daripada Paulus yang dipenjarakan kerana Kristus Yesus, dan daripada saudara kita Timotius, Kepada Filemon, sahabat kami dan teman sekerja yang dikasihi,

[2] kepada saudari kita Apfia, dan kepada rakan seperjuangan kita Arkhipus, serta kepada jemaah yang berhimpun di rumahmu:

[3] Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus menganugerahimu kasih kurnia dan damai sejahtera.

[4] Saudaraku Filemon, aku sentiasa bersyukur kepada Allahku dan menyebut namamu dalam doaku,

[5] kerana aku mendengar tentang imanmu kepada Tuhan Yesus, dan kasihmu terhadap semua orang salih.

[6] Aku berdoa semoga persaudaraan kita sebagai orang yang beriman kepada Kristus akan membawa pengertian yang lebih mendalam tentang segala yang baik yang kita miliki dalam Kristus.

[7] Saudaraku Filemon, kasihmu sungguh menggembirakan dan menggalakkan hatiku kerana kamu telah menyegarkan hati sekalian orang salih.

[8] Oleh itu, aku mempunyai kebebasan dalam Kristus untuk memerintahkan kamu membuat sesuatu yang harus dilakukan.

[9] Namun demikian, kerana aku mengasihimu, aku hanya meminta kamu membuatnya. Aku Paulus, seorang yang sudah tua dan kini dipenjarakan kerana Kristus Yesus.

[10] Aku membuat permintaan ini bagi pihak Onesimus, yang telah kujadikan sebagai anakku sendiri sewaktu aku di dalam penjara.

[11] Dahulu dia tidak berguna bagimu, tetapi sekarang dia berguna bukan sahaja bagimu malah juga bagiku.

[12] Aku menghantar kembali kepadamu Onesimus yang amat kukasihi.

[13] Sebenarnya aku mahu dia tetap bersamaku di sini untuk membantuku bagi pihakmu sepanjang tempoh aku dipenjarakan kerana menyebarkan Injil.

[14] Namun demikian, aku tidak mahu memaksa kamu membantuku. Biarlah bantuan itu kamu hulurkan dengan rela hati. Oleh itu, aku tidak mahu berbuat apa-apa tanpa persetujuanmu.

[15] Mungkin Onesimus meninggalkanmu untuk sementara waktu supaya kamu mendapatnya kembali untuk selama-lamanya.

[16] Kini dia bukan hanya seorang hamba, dia saudara yang dikasihi. Dia amat bererti bagiku, dan tentulah lebih bererti bagimu, baik sebagai hamba mahupun sebagai saudara dalam Tuhan.

[17] Oleh itu, sekiranya kamu menganggapku sebagai rakan sekerja, sambutlah dia kembali seperti kamu menyambutku.

[18] Jika ada kesalahannya atau hutangnya kepadamu, biarlah aku yang menanggungnya.

[19] Lihatlah, kata-kata yang berikut kuterakan dengan tulisanku sendiri: Aku, Paulus, akan menyelesaikan segala-galanya – Aku tidak perlu mengingatkan kamu bahawa kamu berhutang kepadaku dirimu sendiri.

[20] Saudaraku, semoga aku mendapat pertolonganmu dalam Tuhan. Segarkanlah hatiku dalam Kristus.

[21] Ketika menulis surat ini, aku yakin bahawa kamu akan menunaikan permintaanku. Malah sebenarnya aku tahu bahawa lebih daripada yang kuminta itu pun akan kamu lakukan.

[22] Sementara itu, sediakanlah bilik untukku di rumahmu, kerana aku berharap Allah akan mengabulkan doa kamu semua semoga aku kembali kepadamu.

[23] Epafras, yang dipenjarakan bersamaku kerana Kristus Yesus, berkirim salam kepadamu.

[24] Juga sambutlah salam rakan-rakan seperjuanganku: Markus, Aristarkhus, Demas dan Lukas.

[25] Semoga kasih kurnia Tuhan Yesus Kristus menyertai roh kamu semua.