Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:52

[1] Oleh itu, saudara-saudaraku yang dikasihi dan dirindui, yang menjadi kebahagiaanku dan mahkotaku, berdirilah dengan teguh dalam Tuhan, wahai sekalian yang kusayangi!

[2] Aku merayu kepada Euodia dan Sintikhe supaya bersatu hati dalam Tuhan.

[3] Dan aku meminta kepadamu juga, teman sejati, bantulah perempuan-perempuan ini yang telah berusaha bersamaku untuk Injil, juga dengan Klemen serta teman sekerjaku yang lain, yang nama-nama mereka ada dalam Kitab Hidup.

[4] Bersukacitalah dalam Tuhan sentiasa. Kukatakan lagi: Bersukacitalah!

[5] Biar sikapmu yang lemah lembut diketahui oleh semua orang. Tuhan ada berhampiran.

[6] Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah.

[7] Dan sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus.

[8] Akhir sekali, saudara-saudaraku, apa sahaja yang benar, apa sahaja yang mulia, apa sahaja yang adil, apa sahaja yang suci, apa sahaja yang indah, apa sahaja yang dipandang tinggi – jika ada sesuatu yang baik dan jika ada sesuatu yang terpuji – tumpukan fikiran kepadanya.

[9] Segala yang kamu pelajari, terima, dengar dan lihat dalam diriku – lakukanlah. Maka Allah yang sumber segala damai sejahtera akan bersertamu.

[10] Tetapi aku amat bersukacita dalam Tuhan kerana akhirnya sekarang prihatinmu terhadapku telah semarak semula. Sebenarnya dahulu pun kamu sudah mengambil berat terhadapku, tetapi tidak ada kesempatan bagimu.

[11] Aku tidak bercakap disebabkan kekurangan, kerana dalam keadaan apa pun aku telah belajar berasa cukup.

[12] Aku tahu bagaimana hidup miskin hina dan bagaimana hidup mewah mulia. Di mana-mana dan dalam apa sahaja, aku telah belajar berasa cukup, baik kenyang atau lapar, senang atau susah.

[13] Aku dapat melakukan segalanya melalui Kristus yang memberiku kekuatan.

[14] Namun demikian kamu telah berbuat baik dengan mengambil bahagian dalam kesusahanku.

[15] Kamu orang Filipi juga tahu bahawa apabila Injil mula dikhabarkan, ketika aku baru keluar dari Makedonia, tiada jemaah yang memberikan layanan kepadaku dalam memberi dan menerima kecuali kamu.

[16] Ketika aku di Tesalonika pun kamu telah mengirimkan bantuan untuk menampung kekuranganku.

[17] Bukanlah aku hendakkan pemberian itu, tetapi aku hendakkan kebaikan itu menambahkan jumlah perbuatan baik dalam kira-kiramu.

[18] Sebenarnya aku ada segalanya, bahkan berlebihan; sudah cukuplah bagiku, setelah menerima kirimanmu dari tangan Epafroditus, bau yang harum dan persembahan yang diterima serta diredai Allah.

[19] Allahku akan membekalkan segala keperluanmu daripada kekayaan-Nya yang termulia dalam Kristus Yesus.

[20] Segala kemuliaan bagi Bapa kita Allah selama-lamanya. Amin.

[21] Sampaikan salamku kepada setiap orang yang salih dalam Kristus Yesus. Saudara-saudara yang bersamaku mengirim salam kepadamu.

[22] Semua orang salih di sini mengirim salam kepadamu, terutamanya isi istana Kaisar.

[23] Semoga kasih kurnia Tuhan Yesus Kristus menyertai rohmu. Amin.

Filipi — Chapters