[1] Akhir kata, saudara-saudaraku, bersukacitalah dalam Tuhan! Bagiku menuliskan perkara yang sama kepadamu tidaklah menjemukan, dan ini memastikan keselamatanmu.
[2] Awas orang yang bersikap seperti anjing, awas orang yang berbuat jahat, awas tukang sunat yang palsu.
[3] Kerana kita ini orang bersunat, yang menyembah Allah dalam Roh, bermegah dalam Kristus Yesus, dan tidak mengharapkan hal lahiriah –
[4] walaupun aku sendiri ada alasan untuk mengharapkan hal lahiriah. Jika sesiapa menyangka dia ada alasan untuk mengharapkan hal lahiriah, aku lebih lagi.
[5] Aku disunatkan ketika berumur lapan hari, berbangsa Israel, daripada suku Benyamin, seorang Ibrani keturunan orang Ibrani; dalam hal Taurat aku orang Farisi;
[6] dari segi kesungguhan, aku telah menganiaya jemaah; dari segi perbenaran dalam mentaati Taurat, aku tiada cacat cela.
[7] Tetapi segala yang dahulu merupakan untung bagiku, sekarang kukira rugi kerana Kristus.
[8] Bahkan segala perkara kukira rugi berbanding keagungan mengenal Kristus Yesus, Tuhanku. Oleh sebab Dialah aku telah kerugian segalanya, yang kukira sampah sarap belaka, supaya aku mendapat untung iaitu Kristus,
[9] dan didapati di dalam-Nya, bukan dengan perbenaran sendiri yang datang dari Taurat, melainkan yang datang melalui iman kepada Kristus, perbenaran daripada Allah melalui iman.
[10] Aku hendak mengenal-Nya dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya,
[11] supaya pada akhirnya aku dapat mencapai kebangkitan daripada kematian.
[12] Bukanlah aku telah mencapainya, atau telah disempurnakan, tetapi aku terus berusaha, semoga aku dapat mengambil sesuatu yang kerananya aku telah diambil oleh Kristus Yesus.
[13] Saudara-saudara, aku tidak menganggap diriku telah dapat mengambilnya, tetapi satu perkara kulakukan: Melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan,
[14] aku terus berusaha ke arah matlamat mendapatkan ganjaran, iaitu panggilan Allah ke syurga dalam Kristus Yesus.
[15] Oleh itu, semua yang matang antara kita hendaklah berfikiran sedemikian, dan jika berbeza fikiranmu dalam apa pun, Allah akan menyatakan hal itu juga kepadamu.
[16] Tetapi setakat yang telah kita capai, marilah kita menempuhnya demikian juga.
[17] Saudara-saudara, bersatulah menurut teladanku, dan perhatikan mereka yang hidup selaras dengan teladan yang kami berikan.
[18] Kerana, seperti yang sudah sering kukatakan kepadamu, dan sekarang kukatakan lagi dengan tangisku, ramai orang hidup sebagai seteru kepada salib Kristus.
[19] Kesudahan mereka adalah kebinasaan, tuhan mereka adalah perut mereka, kemuliaan mereka adalah dalam keaiban mereka. Mereka menumpukan fikiran kepada perkara dunia.
[20] Tetapi kewargaan kita adalah di syurga, dari situ kita menanti-nantikan Penyelamat, Tuhan Yesus Kristus.
[21] Dia akan mengubah tubuh kita yang hina ini supaya serupa dengan tubuh-Nya yang mulia, melalui kuasa-Nya yang dapat menaklukkan segalanya kepada diri-Nya.