[1] Kemudian datanglah anak-anak perempuan Zelafehad anak Hefer anak Gilead anak Makhir anak Manasye, daripada kaum Manasye anak Yusuf. Nama-nama mereka ialah Mahla, Noa, Hogla, Milka, dan Tirza.
[2] Berdirilah mereka menghadap Musa, Imam Eleazar, para pemimpin, serta seluruh umat itu di depan pintu Khemah Pertemuan lalu berkata,
[3] "Ayah kami telah meninggal di gurun. Dia bukan antara pengikut Korah yang bermuafakat untuk melawan Tuhan, melainkan dia meninggal kerana dosanya sendiri. Akan tetapi, dia tidak mempunyai anak lelaki.
[4] Mengapakah nama ayah kami harus lenyap daripada kaumnya hanya kerana dia tidak mempunyai anak lelaki? Jadi, berilah kami tanah milik daripada kalangan saudara-saudara ayah kami."
[5] Musa menyampaikan perkara mereka itu ke hadirat Tuhan.
[6] Lalu berfirmanlah Tuhan kepada Musa,
[7] "Kata-kata anak-anak perempuan Zelafehad itu benar. Hendaklah kamu memberikan kepada mereka tanah harta pusaka dalam kalangan saudara-saudara ayah mereka, dan hendaklah kamu memindahkan harta pusaka ayah mereka kepada mereka.
[8] Katakan pula kepada orang Israel, 'Jika seseorang mati tanpa mempunyai anak lelaki, maka hendaklah kamu memindahkan harta pusakanya kepada anak-anak perempuannya.
[9] Jika dia tidak mempunyai anak perempuan, berikanlah harta pusakanya kepada saudara-saudara lelakinya.
[10] Jika dia tidak mempunyai saudara lelaki, berikanlah harta pusakanya kepada saudara-saudara lelaki ayahnya.
[11] Jika ayahnya tidak mempunyai saudara lelaki, berikanlah harta pusakanya kepada kerabat terdekat daripada kalangan kaumnya untuk menjadi miliknya.' " Itulah ketetapan hukum yang harus berkuat kuasa ke atas orang Israel, seperti yang diperintahkan Tuhan kepada Musa.
[12] Tuhan berfirman kepada Musa, "Naiklah ke Gunung Abarim itu dan lihatlah negeri yang telah Kukurniakan kepada orang Israel.
[13] Sesudah kamu melihatnya, kamu pun akan dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurmu seperti abangmu Harun,
[14] sebab kamu berdua telah menderhaka terhadap firman-Ku di Gurun Zin pada waktu berlakunya pertengkaran dalam kalangan umat, sehingga kamu tidak menyatakan kesucian-Ku di hadapan mata mereka di mata air itu." Itulah mata air Meriba dekat Kadesh, di Gurun Zin.
[15] Kata Musa kepada Tuhan,
[16] "Biarlah Tuhan, Allah atas roh semua manusia, melantik daripada umat ini seorang
[17] yang akan memimpin pergerakan mereka dan yang akan membawa mereka keluar masuk, supaya jangan umat Tuhan seperti domba-domba yang tidak bergembala."
[18] Firman Tuhan kepada Musa, "Panggillah Yosua anak Nun, seorang yang penuh dengan Roh, lalu letakkanlah tanganmu atasnya.
[19] Setelah itu, hadapkanlah dia kepada Imam Eleazar dan kepada seluruh umat, lalu berilah amanat kepadanya di hadapan mata mereka.
[20] Kamu pun harus memberinya sebahagian daripada kewenanganmu, supaya seluruh umat Israel mentaatinya.
[21] Hendaklah dia berdiri di depan Imam Eleazar yang akan menanyakan petunjuk baginya melalui keputusan Urim di hadapan Tuhan. Atas kata-kata imam itu, mereka akan keluar dan atas kata-kata iman itu, mereka akan masuk baik Yosua mahupun semua orang Israel, iaitu seluruh kalangan umat itu."
[22] Maka Musa melakukan segala-galanya seperti yang diperintahkan Tuhan kepadanya. Dia memanggil Yosua lalu menghadapkannya kepada Imam Eleazar serta kepada seluruh umat.
[23] Kemudian dia meletakkan tangannya ke atas Yosua dan memberikan amanat kepadanya, seperti yang telah difirmankan Tuhan dengan perantaraan Musa.