Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:43

[1] Ingatlah, ya Tuhan, apa yang terjadi atas kami, pandanglah dan lihatlah keaiban kami.

[2] Harta pusaka kami beralih kepada orang asing, dan rumah kami kepada orang luar.

[3] Kami menjadi anak yatim, tidak berayah, para ibu kami seperti balu.

[4] Air yang kami minum perlu dibayar, kayu api juga harus dibeli.

[5] Kalangan yang mengejar kami sudah begitu dekat; kami penat, kami tidak mendapat istirahat.

[6] Kami menyerah kepada orang Mesir dan kepada orang Asyur demi mendapatkan cukup makanan.

[7] Nenek moyang kami berdosa dan mereka kini tiada lagi, namun kamilah yang menanggung kesalahan mereka.

[8] Kalangan hamba yang memerintah kami, tiada seorang pun yang melepaskan kami daripada tangan mereka.

[9] Makanan kami dapatkan dengan nyawa sebagai taruhan, kerana ancaman pedang di gurun.

[10] Kulit kami sepanas ketuhar, begitu dahsyatnya penangan kebuluran.

[11] Mereka memperkosa perempuan di Sion, dan perawan di kota-kota Yehuda.

[12] Para penguasa digantung oleh tangan mereka, para tua-tua tidak dihormati.

[13] Para pemuda terpaksa memikul batu kilangan, dan anak-anak terhuyung-hayang dibebani kayu pikulan.

[14] Para tua-tua tidak ada lagi di pintu gerbang kota, para pemuda berhenti bermain muzik.

[15] Lenyaplah kegirangan hati kami, tarian kami berubah menjadi perkabungan.

[16] Terjatuh kini mahkota di kepala kami. Malangnya kami kerana kami telah berdosa!

[17] Kerana hal inilah hati kami terlara-lara, kerana hal-hal inilah mata kami menjadi kabur:

[18] kerana kesepian Gunung Sion, hanya serigala berkeliaran di situ.

[19] Engkau, ya Tuhan, bertakhta selama-lamanya! Arasy-Mu tetap dari zaman ke zaman.

[20] Mengapa Engkau terus melupakan kami, meninggalkan kami sekian lama?

[21] Pulihkanlah kami kepada-Mu, ya Tuhan, maka kami akan dipulihkan! Baharuilah hari-hari kami seperti zaman dahulu,

[22] kecuali Engkau telah menolak kami sama sekali, dan amat murka terhadap kami.

Ratapan — Chapters