[1] Betapa pudar sudah emas itu, betapa berubah emas murni itu! Batu-batu suci itu bertaburan di hujung setiap jalan.
[2] Anak-anak Sion yang berharga, yang senilai dengan emas murni, betapa mereka dianggap bak periuk tanah buatan tangan tukang tembikar!
[3] Serigala pun memberikan teteknya untuk menyusui anak-anaknya, tetapi para puteri bangsaku menjadi kejam seperti burung unta di gurun.
[4] Lidah anak yang menyusu melekat pada langit-langit mulutnya kerana dahaga. Kanak-kanak meminta roti, namun tiada sesiapa yang menyua secebis pun.
[5] Kalangan yang dahulunya makan juadah nikmat kini pengsan di jalan-jalan. Kalangan yang dahulunya dibaluti pakaian mahal kini memeluk timbunan sampah.
[6] Hukuman atas kesalahan puteri bangsaku lebih berat daripada hukuman ke atas dosa Sodom, yang dimusnahkan dalam sekejap sahaja tanpa campur tangan manusia.
[7] Para penguasanya dahulu lebih bersih daripada salji, dan lebih putih daripada air susu. Tubuh mereka lebih kemerahan daripada batu delima, susuk mereka seperti batu nilam.
[8] Kini rupa mereka lebih hitam daripada jelaga, sehingga tidak dikenali di jalan-jalan. Kulit kerepot mereka melekat pada tulang, sudah kering seperti kulit kayu.
[9] Lebih baik keadaan para korban bahana pedang daripada kalangan yang mati kelaparan, merana, kurus kering lalu mati beragan perlahan-lahan akibat kekurangan hasil ladang.
[10] Tangan kaum wanita yang penyayang merebus anak-anak sendiri untuk menjadi makanan mereka pada masa kehancuran puteri bangsaku.
[11] Tuhan melampiaskan sepenuh kemurkaan-Nya dan mencurahkan amarah-Nya yang menyala-nyala. Dia menyalakan api di Sion, yang melahap segala asas kota itu.
[12] Raja-raja di bumi tidak percaya, begitu jugalah seluruh penduduk dunia, bahawa lawan dan musuh dapat memasuki pintu-pintu gerbang Yerusalem.
[13] Hal itu terjadi kerana dosa para nabinya dan kesalahan para imamnya, yang menumpahkan darah orang yang benar di tengah-tengah kota itu.
[14] Mereka mengembara di jalan-jalan seperti orang buta. Begitu tercemarnya mereka oleh darah hinggakan tiada sesiapa berani menyentuh pakaian mereka.
[15] Orang berseru kepada mereka, "Nyahlah! Najis! Nyahlah! Nyahlah! Usah sentuh!" Mengembaralah mereka yang sudah menjadi pelarian lalu berkatalah umat bangsa-bangsa, "Mereka tidak boleh lagi tinggal di sini dalam kalangan kami!"
[16] Tuhan sendiri menyelerakkan mereka, Dia tidak mahu lagi memandang mereka. Para imam tidak lagi dihormati, para tua-tua tidak lagi diberi keutamaan.
[17] Mata kami juga sayu akibat kegagalan menantikan pertolongan, usaha yang sia-sia itu. Di menara pengintaian kami menantikan bangsa yang tidak dapat menyelamatkan kami.
[18] Musuh kami gigih mengintai setiap langkah kami sehingga tidak dapat kami berjalan di tempat-tempat umum kami. Sudah dekat ajal kami, sudah lanjut umur kami, ya, sudah tiba ajal kami.
[19] Lebih cepat kalangan yang mengejar kami berbanding burung rajawali di udara. Mereka memburu kami di pergunungan, dan menyerang hendap kami di gurun.
[20] Orang yang diurapi Tuhan, nafas hidup kami tertangkap dalam lubang jebak mereka, padahal tadinya kami berfikir, "Di bawah naungannya kami akan hidup dalam kalangan bangsa."
[21] Bergiranglah dan bergembiralah, wahai puteri Edom, kamu kalangan penghuni Tanah Us! Cawan itu akan dialihkan kepadamu pula, engkau akan mabuk dan menelanjangi dirimu.
[22] Sudah selesai hukumanmu, wahai puteri Sion, Dia tidak akan lagi membawa engkau ke dalam pembuangan. Sebaliknya, Dia akan membalas kesalahanmu, wahai puteri Edom dan mendedahkan segala dosamu!