Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:08

[1] Apabila berita itu sampai kepada semua raja yang tinggal di sebelah tebing barat Sungai Yordan – di pergunungan, di dataran rendah, dan di sepanjang pesisir Laut Besar sampai ke seberang Lebanon – iaitu raja bani Het, bani Amori, bani Kanaan, bani Feris, bani Hewi, dan bani Yebus,

[2] bergabunglah mereka serentak dan bersatu hati untuk berperang melawan Yosua serta orang Israel.

[3] Akan tetapi, apabila penduduk Gibeon mendengar apa yang dilakukan Yosua terhadap Yerikho dan Ai,

[4] mereka pun bermuslihat menggunakan tipu helah. Mereka berpura-pura menjadi orang utusan yang membawa sekawanan keldai yang dimuatkan dengan karung usang serta kantung kulit bekas simpanan air anggur yang koyak dan bertampal-tampal.

[5] Kaki mereka bersarungkan kasut buruk yang juga bertampal-tampal, dan pakaian mereka juga lusuh. Segala bekalan roti mereka pun kering lagi keras.

[6] Lalu pergilah mereka menemui Yosua di perkhemahan di Gilgal. Kata mereka kepadanya dan kepada orang Israel, "Kami datang dari negeri yang jauh. Sekarang, ikatlah perjanjian dengan kami."

[7] Tetapi orang Israel berkata kepada orang Hewi itu, "Jangan-jangan kamu tinggal dekat kami. Bagaimanakah kami dapat mengikat perjanjian dengan kamu?"

[8] Kata mereka kepada Yosua, "Kami ini hamba-hambamu." Tanya Yosua kepada mereka, "Siapakah kamu ini dan dari manakah kamu datang?"

[9] Jawab mereka kepadanya, "Hamba-hambamu ini datang dari negeri yang amat jauh atas sebab nama Tuhan, Allahmu. Kami telah mendengar kemasyhuran-Nya, semua yang dilakukan-Nya di Mesir

[10] dan semua yang dilakukan-Nya terhadap kedua-dua raja bani Amori di seberang Sungai Yordan, iaitu Sihon, raja Hesbon, serta Og, raja Basan, yang tinggal di Astarot.

[11] Oleh sebab itu para tua-tua kami dan seluruh penduduk negeri kami berkata kepada kami, 'Ambillah bekal untuk perjalanan dan pergilah menemui mereka. Katakanlah kepada mereka, "Kami ini hamba-hambamu. Sekarang, ikatlah perjanjian dengan kami." '

[12] Roti kami ini masih panas ketika kami ambil sebagai bekal dari rumah pada hari kami bertolak untuk menemui tuan. Sekarang, lihatlah, sudah kering dan lapuk.

[13] Kantung-kantung kulit bekas simpanan air anggur ini pun masih baru ketika kami isikan. Lihatlah, sekarang sudah koyak-koyak. Pakaian dan kasut kami ini menjadi lusuh akibat perjalanan yang amat jauh."

[14] Maka orang Israel mengambil bekal orang itu, tetapi mereka tidak menanyakan petunjuk Tuhan.

[15] Kemudian Yosua berdamai dengan mereka itu dan mengikat perjanjian dengan mereka untuk membiarkan mereka hidup. Para pemimpin umat pun bersumpah kepada mereka.

[16] Selang tiga hari setelah mengikat perjanjian dengan kumpulan orang itu, mereka mendapat tahu bahawa orang itu jiran mereka dan tinggal berdekatan dengan mereka.

[17] Orang Israel pun berangkat, lalu pada hari ketiga mereka sampai di kota-kota kumpulan orang itu, iaitu Gibeon, Kefira, Beerot, dan Kiryat-Yearim.

[18] Orang Israel tidak menyerang orang itu kerana para pemimpin umat telah bersumpah kepada orang itu demi Tuhan, Allah Israel. Maka bersungut-sungutlah seluruh umat itu terhadap para pemimpin mereka.

[19] Kata para pemimpin kepada seluruh umat, "Kami telah bersumpah kepada orang itu demi Tuhan, Allah Israel, dan sekarang kita tidak dapat mengusik mereka.

[20] Inilah yang akan kita lakukan terhadap mereka: kita akan membiarkan mereka hidup supaya jangan kita ditimpa murka kerana sumpah yang telah kita ucapkan terhadap mereka."

[21] Kata para pemimpin kepada mereka, "Biarkan mereka hidup." Maka orang itu dijadikan pembelah kayu dan penimba air bagi seluruh umat, seperti yang ditentukan para pemimpin mengenai mereka.

[22] Yosua memanggil semua orang itu dan berkata kepada mereka, "Mengapa kamu memperdaya kami dengan berkata, 'Kami ini tinggal amat jauh daripada kamu,' padahal kamu tinggal dekat dengan kami?

[23] Sekarang, terkutuklah kamu! Orangmu tidak akan putus-putusnya menjadi hamba, pembelah kayu, dan penimba air bagi rumah Allahku."

[24] Jawab mereka kepada Yosua, "Kerana para hambamu ini telah diberitahukan dengan sungguh-sungguh bahawa Tuhan, Allahmu, telah memerintahkan Musa, hamba-Nya, untuk memberikan kepadamu seluruh negeri ini dan untuk memusnahkan seluruh penduduk negeri ini dari hadapanmu. Kami sangat takut kehilangan nyawa kami kerana kamu, sehingga kami melakukan hal ini.

[25] Sekarang, sesungguhnya kami ini ada dalam kekuasaan tuan. Perlakukanlah kami sebagaimana tuan pandang baik dan benar."

[26] Demikianlah dia memperlakukan mereka dan melepaskan mereka daripada tangan orang Israel, sehingga mereka tidak dibunuh.

[27] Pada hari itu Yosua menjadikan mereka pembelah kayu serta penimba air bagi umat dan bagi mazbah Tuhan di tempat yang akan dipilih-Nya, dan hal itu berterusan sampai hari ini.

Yosua — Chapters