[1] Saudara-saudaraku, seharusnya hanya segelintir daripadamu berusaha untuk menjadi guru. Kamu tahu bahawa kita yang menjadi guru akan diadili dengan lebih keras daripada orang lain.
[2] Kita semua selalu melakukan kesalahan. Sekiranya seseorang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan melalui tutur katanya, maka dia itu seorang yang sempurna. Dia dapat menguasai seluruh dirinya.
[3] Kita memasang kekang pada mulut kuda supaya kuda menurut kemahuan kita. Dengan kekang, kita dapat mengendalikan seluruh tubuh kuda.
[4] Begitu juga dengan kapal, walaupun besar dan digerakkan oleh angin kencang, tetapi kapal hanya dikendalikan oleh kemudi yang amat kecil. Kapal bergerak ke arah yang ditentukan oleh pengemudi.
[5] Demikianlah dengan lidah kita, walaupun kecil, namun dapat bermegah tentang hal-hal yang besar. Betapa luasnya hutan yang dapat dibakar oleh api yang amat kecil.
[6] Lidah laksana api. Lidah kita ibarat dunia yang dikuasai kejahatan dan memenuhi seluruh diri kita dengan kejahatan. Lidah menghanguskan hidup kita dengan api dari neraka.
[7] Manusia dapat dan sudah pun menjinakkan makhluk lain – binatang buas, burung, haiwan menjalar, dan binatang-binatang di laut.
[8] Akan tetapi, tiada sesiapa pun dapat menjinakkan lidah manusia. Lidah itu jahat, tidak dapat dikuasai, dan penuh dengan racun yang membunuh.
[9] Kita menggunakan lidah untuk memuji Tuhan dan Bapa kita, tetapi juga untuk mengutuk sesama manusia yang telah dicipta menurut gambaran Allah.
[10] Kata-kata berkat dan kata-kata kutukan lahir daripada mulut yang sama. Ini tidak sepatutnya berlaku, saudara-saudaraku.
[11] Dapatkah air tawar dan air masin dikeluarkan daripada mata air yang sama?
[12] Saudara-saudaraku, pokok ara tidak mungkin menghasilkan buah zaitun, manakala pokok anggur tidak mungkin mengeluarkan buah ara. Mata air yang masin tidak mungkin memancarkan air tawar.
[13] Adakah wujud dalam kalanganmu seorang yang bijak bestari? Sifat ini terbukti melalui kelakuan baik dan kebajikan yang diamalkan dengan rendah hati serta bijaksana.
[14] Akan tetapi, sekiranya kamu bersikap hasad dengki dan mementingkan diri, janganlah bermegah dengan kebijaksanaan itu atau menafikan yang benar.
[15] Kebijaksanaan demikian tidak berasal dari syurga tetapi dari dunia, tabiat manusia yang berdosa, dan roh iblis.
[16] Sikap hasad dengki dan mementingkan diri akan menimbulkan kekacauan serta pelbagai kejahatan.
[17] Sebaliknya, apabila seseorang memiliki kebijaksanaan yang berasal dari syurga, maka dia bersifat murni, mencintai kedamaian, lemah lembut dan ramah-tamah. Dia juga bersikap belas kasihan serta mengamalkan segala jenis perbuatan baik. Dia tidak bersikap berat sebelah dan tidak munafik atau bertalam dua muka.
[18] Buah perbenaran ialah hasil daripada benih kedamaian yang disemaikan oleh orang yang mencintai kedamaian.