Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:26

[1] Daripada Yakobus, hamba Allah dan hamba Tuhan Yesus Kristus, Kepada dua belas suku yang tersebar di serata dunia: Sambutlah salam daripadaku.

[2] Saudara-saudaraku, anggaplah sebagai suatu kebahagiaan apabila kamu menghadapi pelbagai cubaan,

[3] kerana kamu tahu bahawa ujian terhadap imanmu menghasilkan ketabahan.

[4] Pastikan bahawa ketabahanmu itu berterusan, sehingga kamu menjadi sempurna tanpa sebarang kekurangan pun.

[5] Sekiranya seseorang di antaramu kurang bijaksana, dia haruslah berdoa kepada Allah supaya mengurniakan kebijaksanaan kepadanya, kerana Allah memberi dengan murah hati kepada semua orang tanpa memandang kesalahan mereka.

[6] Akan tetapi, apabila dia memohon, dia mesti beriman sepenuhnya. Dia tidak harus ragu-ragu, kerana orang yang ragu-ragu itu umpama ombak laut yang terumbang-ambing ditiup angin.

[7] Orang seperti itu tidak boleh berharap untuk menerima apa-apa daripada Tuhan;

[8] pendiriannya tidak tetap dan dia sentiasa teragak-agak melakukan sesuatu.

[9] Saudara yang hidup dalam keadaan sederhana patut bermegah dengan kedudukannya yang tinggi.

[10] Orang yang kaya pula patut bermegah dengan kedudukannya yang rendah, kerana dia boleh lenyap laksana bunga rumput.

[11] Sewaktu matahari meninggi, sinarnya yang panas menyebabkan rumput itu layu sehingga bunganya gugur lalu musnah keindahannya. Begitulah halnya dengan orang kaya yang akan lenyap ketika mengurus perniagaannya.

[12] Diberkatilah orang yang tabah menghadapi cubaan. Apabila mereka berjaya menangani cubaan itu, mereka akan mendapat mahkota kehidupan yang telah dijanjikan Allah kepada orang yang mengasihi-Nya.

[13] Sekiranya seseorang tergoda ketika menghadapi cubaan demikian, tidaklah wajar dia berkata, "Godaan ini datang daripada Allah." Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan dan Allah tidak menggoda sesiapa.

[14] Seseorang tergoda kerana terjerat oleh nafsu jahatnya sendiri.

[15] Apabila dia menurutkan nafsu jahatnya itu, wujudlah dosa; dan dosa yang matang akan membawa kepada kematian.

[16] Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah terperdaya.

[17] Segala pemberian yang baik dan sempurna diturunkan dari syurga oleh Bapa, sumber segala cahaya. Dia tidak berubah dan tidak seperti bayangan yang berubah-ubah bentuknya.

[18] Dengan kehendak-Nya Dia mencipta kita melalui firman-Nya yang benar. Dengan demikian kita menjadi yang sulung antara semua makhluk-Nya.

[19] Saudara-saudara yang kukasihi, sebagaimana kamu tahu, seseorang haruslah cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah.

[20] Orang yang marah tidak dapat melakukan perbuatan yang benar dan diredai Allah.

[21] Oleh itu, kikislah segala tabiat buruk dan kelakuan jahat. Kemudian terimalah firman yang disemaikan-Nya ke dalam hatimu dengan rendah hati, kerana firman itu dapat menyelamatkanmu.

[22] Namun demikian, jangan tipu dirimu dengan hanya mendengar firman; lakukanlah firman itu.

[23] Seseorang yang mendengar firman tetapi tidak melakukannya adalah ibarat orang yang berdiri di hadapan cermin,

[24] meneliti dirinya, kemudian pergi dari situ dan terus lupa akan rupanya.

[25] Namun demikian, orang yang meneliti hukum yang sempurna, iaitu hukum yang dapat membebaskan manusia, dan melakukannya, akan diberkati dalam segala tindakannya, kerana dia tidak hanya mendengar lalu melupakannya.

[26] Jika seseorang menganggap dirinya taat beribadat tetapi tidak mengekang lidahnya, maka ibadatnya sia-sia dan dia menipu diri sendiri.

[27] Allah Bapa berfirman bahawa ibadat yang murni dan tulen ialah: menolong anak yatim piatu dan balu yang menanggung kesusahan, serta menjaga diri daripada dicemari kejahatan dunia.

Yakobus — Chapters