[1] "Bersiaplah untuk meniup sangkakala! Ada serangan seperti rajawali atas Bait Tuhan, kerana bangsa itu telah melanggar perjanjian-Ku dan menderhaka terhadap hukum-Ku.
[2] Mereka akan berseru kepada-Ku, 'Ya Allahku, kami orang Israel mengenal Engkau.'
[3] Israel telah menolak dengan angkuh hal-hal yang baik. Musuh akan mengejar dia.
[4] Mereka mengangkat raja-raja, tetapi tanpa restu-Ku. Mereka mengangkat para pembesar, tetapi tanpa persetujuan-Ku. Daripada emas dan perak mereka membuat berhala-berhala untuk diri mereka, sehingga mereka dilenyapkan.
[5] Patung anak lembumu telah dibuang, wahai Samaria. Murka-Ku menyala-nyala terhadap mereka itu. Sampai bilakah mereka tidak dapat disucikan?
[6] Patung itu berasal dari Israel. Itu dibuat oleh tukang, bukan oleh Allah! Patung anak lembu Samaria itu akan menjadi sekadar kepingan serpihan.
[7] Kerana angin yang disemai mereka, maka puting beliung kelak dituai. Tiada batang gandum yang menerbitkan bulir, maka tiada tunas yang menghasilkan tepung. Kalaupun ada penghasilan, dia akan ditelan orang asing.
[8] Israel ditelan. Sekarang mereka berada di antara bangsa, seperti wadah yang tidak diingini orang.
[9] Mereka telah pergi ke Asyur seperti keldai liar mengembara sendirian; Efraim mengupah pelacur untuk menjadi kekasih.
[10] Sekalipun mereka mengupah sekutu daripada kalangan bangsa, sekarang Aku akan mengumpulkan mereka. Mereka akan semakin susut di bawah tekanan raja serta para pembesar itu.
[11] Lantaran Efraim terus memperbanyak bilangan mazbah berhala sehingga berdosa; mazbah-mazbah itu telah menjadikan mereka berdosa.
[12] Biarpun Aku menuliskan baginya banyak pengajaran hukum-Ku, tetapi semua itu dianggap hal yang aneh.
[13] Mengenai korban sembelihan yang dibawa mereka kepada-Ku: mereka mempersembahkan daging dan memakannya, tetapi Tuhan tidak berkenan kepada mereka. Sekarang Dia akan mengingat kesalahan mereka dan membalas dosa mereka; mereka akan kembali ke Mesir.
[14] Israel telah melupakan Penciptanya dan membangunkan istana-istana. Yehuda memperbanyak kota berkubu, tetapi Aku akan menujukan api ke kota-kotanya yang akan memakan hangus puri-purinya."