Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:01

[1] Berfirmanlah Dia kepada Musa, "Naiklah menghadap Tuhan, kamu dan Harun, Nadab dan Abihu, berserta tujuh puluh orang dalam kalangan tua-tua Israel dan sujudlah menyembah dari jarak yang jauh.

[2] Musa sahaja yang boleh menghampiri Tuhan, tetapi umat yang lain tidak boleh datang dekat-dekat. Umat itu juga tidak boleh naik bersama-samanya."

[3] Maka pergilah Musa menyampaikan kepada umat itu semua perintah dan peraturan yang difirmankan Tuhan. Seluruh umat itu pun menjawab dengan suara serentak, "Segala yang telah difirmankan Tuhan akan kami laksanakan."

[4] Kemudian Musa menulis segala firman Tuhan itu. Keesokan harinya pagi-pagi lagi dia bangun lalu mendirikan sebuah mazbah di kaki gunung itu lengkap dengan dua belas batang tiang, setara dengan jumlah suku orang Israel iaitu dua belas semuanya.

[5] Dia mengarahkan beberapa orang muda orang Israel untuk mempersembahkan korban bakaran serta menyembelih lembu-lembu jantan sebagai korban kedamaian untuk Tuhan.

[6] Musa mengambil sebahagian daripada darah itu dan menuangkannya ke dalam beberapa buah bejana, manakala sebahagian lagi darah dipercikkan pada mazbah.

[7] Lalu dia mengambil kitab perjanjian itu dan membacanya di hadapan seluruh umat yang mendengarkannya. Lalu mereka berkata, "Segala firman Tuhan akan kami laksanakan dan kami patuhi."

[8] Selepas itu Musa mengambil darah itu lalu memercikkannya ke atas umat itu dan berkata, "Inilah darah perjanjian yang dimateraikan Tuhan dengan kamu sehubungan dengan segala firman-Nya ini."

[9] Lalu Musa, Harun, Nadab dan Abihu, serta tujuh puluh orang daripada kalangan tua-tua orang Israel mendaki gunung.

[10] Mereka nampak Allah Israel dan di bawah kaki-Nya kelihatan sesuatu seperti turapan batu nilam yang tampak terang seperti langit.

[11] Namun begitu, Allah tidak membinasakan para pemuka orang Israel itu. Setelah mereka memandang Allah, mereka pun makan dan minum.

[12] Tuhan berfirman kepada Musa, "Naiklah menghadap Aku di atas gunung dan tunggulah di situ. Aku akan memberimu loh-loh batu yang telah Kutulis hukum dan perintah yang harus diajarkan kepada mereka."

[13] Maka bangkitlah Musa, demikian juga Yosua, penolongnya, lalu Musa naik ke gunung Allah.

[14] Sebelumnya, kepada para tua-tua itu dia berkata, "Tunggulah di sini sampai kami kembali kepadamu. Lihat, Harun dan Hur ada bersama-samamu. Sesiapa yang ada perkara berbangkit, biarlah dia pergi mengadukannya kepada mereka."

[15] Musa pun mendaki gunung, lalu awan melitupi gunung itu.

[16] Kemuliaan hadirat Tuhan bersemayam di atas Gunung Sinai, dan awan melitupinya selama enam hari. Pada hari ketujuh Dia memanggil Musa dari tengah-tengah awan itu.

[17] Pada pandangan orang Israel, kemuliaan Tuhan di puncak gunung itu kelihatan seperti api yang menghanguskan.

[18] Musa masuk ke tengah-tengah awan itu dan naik ke atas gunung. Dia berada di atas gunung itu selama empat puluh hari empat puluh malam.

Keluaran — Chapters