Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:54

[1] Lalu Allah berfirman semua kata ini:

[2] "Akulah Tuhan, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan.

[3] Jangan ada padamu tuhan-tuhan lain selain Aku.

[4] Jangan buat patung ukiran untuk dirimu atau wujudkan apa-apa pun yang ada di langit di atas, atau yang ada di bumi di bawah, atau di dalam air di bawah bumi.

[5] Jangan sujud menyembahnya atau beribadat kepadanya, kerana Aku, Tuhan, Allahmu, Allah yang cemburu, yang membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya, kepada keturunan ketiga dan keempat dalam kalangan mereka yang membenci Aku.

[6] Namun demikian, Aku menunjukkan kasih setia-Ku kepada keturunan yang keseribu dalam kalangan mereka yang mengasihi Aku dan yang taat berpegang teguh pada segala perintah-Ku.

[7] Jangan gunakan nama Tuhan, Allahmu, dengan sembarangan, kerana Tuhan akan memandang bersalah orang yang menggunakan nama-Nya dengan sembarangan.

[8] Ingatlah hari Sabat dan jagalah kesuciannya.

[9] Enam hari lamanya engkau harus bekerja dan melakukan segala pekerjaanmu,

[10] tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat bagi Tuhan, Allahmu. Pada hari itu jangan melakukan pekerjaan apa-apa pun baik kamu, anak lelakimu, anak perempuanmu, hamba lelakimu, hamba perempuanmu, haiwanmu, mahupun pendatang yang ada di kotamu.

[11] Kerana enam hari lamanya Tuhan menjadikan langit dan bumi, laut dan segala isinya, lalu Dia beristirahat pada hari ketujuh. Itulah sebabnya Tuhan memberkati hari Sabat dan menjadikannya suci.

[12] Hormatilah ibu bapamu, supaya lanjut usiamu di bumi yang Tuhan, Allahmu, kurniakan kepadamu.

[13] Jangan membunuh.

[14] Jangan berzina.

[15] Jangan mencuri.

[16] Jangan memberi kesaksian palsu terhadap sesamamu.

[17] Jangan mendambakan rumah jiranmu. Jangan ingini isteri jiranmu, hambanya baik yang lelaki mahupun yang perempuan, lembunya, keldainya, atau apa-apa pun yang dimiliki oleh sesamamu."

[18] Seluruh umat itu menyaksikan guruh dan kilat, bunyi sangkakala, dan gunung yang berasap. Maka gementarlah mereka dalam ketakutan lalu berdiri jauh-jauh.

[19] Kata mereka kepada Musa, "Engkau sajalah yang berbicara kepada kami, kami akan mendengar kata-katamu, tetapi janganlah Allah yang berbicara kepada kami, nanti kami mati."

[20] Kata Musa kepada umat itu, "Jangan takut, kerana Allah telah datang untuk menguji kamu supaya kamu sentiasa takut kepada-Nya lantas kamu tidak berbuat dosa."

[21] Umat itu berdiri jauh-jauh, tetapi Musa menghampiri kepekatan yang menyelubungi hadirat Allah.

[22] Tuhan berfirman kepada Musa, "Beginilah harus kamu katakan kepada orang Israel, 'Kamu telah menyaksikan bahawa Aku berfirman kepadamu dari langit.

[23] Jangan buat sesuatu yang menduakan Aku. Jangan buat untuk dirimu tuhan-tuhan perak ataupun tuhan-tuhan emas,

[24] tetapi buatlah bagi-Ku suatu mazbah daripada tanah, lalu persembahkanlah di atasnya korban bakaranmu dan korban kedamaianmu, iaitu domba dan lembumu. Di setiap tempat yang Kujadikan nama-Ku diingat, di situlah Aku akan datang kepadamu dan memberkati kamu.

[25] Jika kamu hendak membuat suatu mazbah daripada batu bagi-Ku, janganlah membangunkannya daripada batu yang dipahat, kerana jika kamu mengenakan pahatmu padanya maka kamu menajiskannya.

[26] Jangan naik tangga ke mazbah-Ku, supaya jangan terselak auratmu di atasnya.

Keluaran — Chapters