[1] Kamu sekalian yang menjadi tuan, berilah apa yang adil dan wajar kepada hamba-hambamu, kerana kamu tahu bahawa kamu pun mempunyai Tuan di syurga.
[2] Bertekunlah dalam doa dan berjaga-jaga serta mengucap syukur.
[3] Doakan kami juga, semoga Allah membukakan kami suatu pintu bagi firman-Nya, supaya kami bercakap tentang rahsia Kristus. Oleh sebab rahsia itulah aku terpenjara ini,
[4] semoga aku dapat menyatakannya dengan jelas, sebagaimana yang sewajarnya.
[5] Dekatilah orang luar dengan bijaksana, dan pergunakanlah setiap peluang dengan baik.
[6] Perkataanmu hendaklah sentiasa penuh dengan kasih kurnia, digarami kebijaksanaan, supaya kamu tahu menjawab setiap orang dengan sewajarnya.
[7] Saudara kita Tikhikus yang dikasihi akan memberitahumu segala hal ehwalku. Dia seorang hamba yang beriman, dan teman sekerjaku dalam pekerjaan Tuhan.
[8] Aku mengutusnya kepadamu supaya dia mengetahui hal ehwal kamu dan menggalakkan hatimu.
[9] Bersamanya ialah saudara kita Onesimus yang beriman dan dikasihi, dia orang kamu. Mereka berdua akan memberitahu kamu segala yang berlaku di sini.
[10] Aristarkhus, temanku dalam penjara, berkirim salam kepadamu. Demikian juga Markus, saudara sepupu kepada Barnabas. (Kamu telah mendapat arahan tentangnya; kamu harus menyambut jika dia datang mengunjungimu.)
[11] Yesua, yang dipanggil Yustus, juga berkirim salam kepadamu. Mereka inilah sahaja orang bersunat yang bekerja bersamaku untuk kerajaan Allah, dan mereka menjadi penghibur hatiku.
[12] Epafras, seorang daripada kamu, juga berkirim salam kepadamu. Dia hamba Kristus Yesus dan sentiasa mendoakanmu bersungguh-sungguh, supaya kamu berdiri teguh dengan penuh keyakinan dan kematangan dalam segala yang dikehendaki Allah.
[13] Aku bersaksi bahawa dia amat berusaha untuk kamu dan orang di Laodikia serta di Hierapolis.
[14] Lukas, tabib yang dikasihi itu, pun berkirim salam kepadamu, begitu juga Demas.
[15] Sampaikan salamku kepada saudara-saudara di Laodikia, dan kepada Nimfa serta jemaah di rumahnya itu.
[16] Apabila surat ini dibacakan dalam kalanganmu, pastikan bahawa surat ini dibacakan pula dalam jemaah orang Laodikia. Kamu pula bacalah surat dari sana.
[17] Katakan kepada Arkhipus, "Berilah perhatian kepada kerja yang telah kamu terima dalam Tuhan, supaya kamu dapat melaksanakannya."
[18] Salam daripadaku, Paulus, dengan tulisan tanganku sendiri. Ingatlah bahawa aku terpenjara. Semoga kasih kurnia Allah menyertaimu.