[1] Aku mahu kamu tahu betapa perasaanku bergolak keranamu dan orang Laodikia, juga semua yang belum lagi bertemu muka denganku.
[2] Aku ingin hati mereka terhibur, terjalin rapat dalam kasih, dan mereka mencapai pengertian penuh dalam segala kekayaan serta kepastiannya, supaya mereka mengetahui rahsia Allah Bapa dan Kristus,
[3] yang dalam-Nya tersembunyi seluruh harta kebijaksanaan dan pengetahuan.
[4] Aku mengatakan ini supaya kamu tidak tertipu dengan hujah.
[5] Sungguhpun tubuhku tiada di sisimu, namun rohku tetap bersamamu, dan aku sukacita kerana melihat keadaanmu yang teratur rapi dan imanmu yang kukuh dalam Kristus.
[6] Oleh sebab kamu telah menerima Kristus Yesus sebagai Tuhan, hiduplah melangkah dalam Dia,
[7] berasas dan terbina dalam-Nya serta bertapak teguh dalam iman, sebagaimana kamu telah diajar, penuh melimpah dengan kesyukuran.
[8] Awaslah, jangan tertipu oleh orang yang menggunakan falsafah dan tipu daya yang sia-sia, menurut adat manusia, menurut ajaran asas dunia, bukan menurut Kristus.
[9] Dalam-Nya terhimpun seluruh ketuhanan berbentuk jasmani,
[10] dan kamu sempurna dalam-Nya, yang merupakan kepala segala perintah dan kuasa.
[11] Dalam-Nya juga kamu telah disunatkan dengan persunatan tanpa menggunakan tangan, iaitu dengan membuangkan segala dosa hawa nafsu dunia daripada tubuhmu, melalui persunatan Kristus.
[12] Kamu telah dikuburkan bersama-Nya dengan baptisan, dan telah dibangkitkan bersama-Nya melalui iman dalam kuasa Allah yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian.
[13] Kamu dahulu mati kerana melakukan dosa dan kerana tidak bersunat secara lahiriah. Allah telah menghidupkan kamu bersama Tuhan dan mengampunkan segala kesalahanmu.
[14] Dia telah memansuhkan hukum-hukum bertulis yang menghimpit dan menghalang kita; Dia telah mencabutnya dan memakukannya pada salib.
[15] Setelah menumpaskan segala roh yang berkuasa dan memerintah, Dia mendedahkan mereka di hadapan orang ramai dan menunjukkan bahawa Dia telah menakluki mereka dalam salib.
[16] Oleh itu, janganlah siapa pun menghakimi kamu tentang makanan atau minuman, hari raya, bulan baru atau hari Sabat.
[17] Segala ini hanya bayang-bayang perkara akan datang, sedangkan yang nyata ialah Kristus.
[18] Janganlah ganjaranmu dikurangkan oleh seseorang yang pura-pura bersikap rendah diri dan menyembah malaikat. Orang seperti itu berpaut pada penglihatan-penglihatannya dan tanpa alasan menyombongkan dirinya dengan fikiran-fikirannya yang duniawi,
[19] dan tidak berpegang teguh pada Kristus sebagai Kepala. Daripada-Nya seluruh tubuh, yang dibesarkan dan dijalin rapat dengan sendi urat, bertumbuh seperti yang dikehendaki oleh Allah.
[20] Oleh itu, jika kamu telah mati bersama Kristus daripada ajaran asas dunia, mengapakah kamu berkelakuan seolah-olah kamu hidup berpandukan kebiasaan dunia, dengan mematuhi peraturan-peraturannya, iaitu:
[21] "Jangan sentuh! Jangan kecap! Jangan pegang!"?
[22] Peraturan sedemikian melibatkan perkara-perkara yang lenyap setelah dipakai. Mengapa kamu masih menurut hukum-hukum dan pengajaran manusia?
[23] Peraturan-peraturan begini memang kelihatan seolah-olah bijaksana, dalam pegangan agama yang dikenakan pada diri sendiri, sikap merendah diri yang palsu, dan pengabaian tubuh, tetapi segalanya tidak menolong kamu melawan hawa nafsu dunia.