Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:54

[1] Sekali lagi Daud menghimpunkan semua orang pilihan dari Israel, jumlahnya seramai tiga puluh ribu orang.

[2] Kemudian Daud dan seluruh rakyat bersiap-siap lalu berjalan dari Baale-Yehuda, untuk mengangkut dari sana tabut Allah, yang disebut dengan nama Tuhan alam semesta yang bertakhta di atas kerubin.

[3] Mereka menaikkan tabut Allah itu ke atas sebuah pedati baru dan mengangkutnya dari rumah Abinadab, yang terletak di bukit. Uza dan Ahio, anak-anak Abinadab, mengendalikan pedati baru itu

[4] bersama-sama tabut Allah yang diangkut mereka dari rumah Abinadab di bukit. Ahio berjalan di depan tabut itu,

[5] sementara Daud dan seluruh keturunan kaum Israel menari-nari di hadapan Tuhan dengan diiringi nyanyian serta alat muzik kecapi, gambus, rebana, kerincing dan ceracap.

[6] Ketika mereka sampai di tempat pembantingan bijirin Nakhon, Uza menghulurkan tangannya untuk memegang tabut Allah, kerana lembu-lembu pedati itu tergelincir.

[7] Lalu menyalalah murka Tuhan terhadap Uza. Allah mengajar dia di sana kerana kesalahannya itu, dan matilah dia di sana, berdekatan dengan tabut Allah.

[8] Daud berasa kesal kerana Tuhan telah menyambar Uza. Itulah sebabnya tempat itu disebut Peres-Uza sampai hari ini.

[9] Namun begitu, pada hari itu Daud menjadi takut kepada Tuhan, katanya, "Bagaimanakah mungkin tabut Tuhan itu dapat sampai kepadaku?"

[10] Oleh sebab itu Daud tidak mahu memindahkan tabut Tuhan ke tempatnya, di Kota Daud, tetapi Daud menyinggahkannya di rumah Obed-Edom, orang Gat.

[11] Tiga bulan lamanya tabut Tuhan tinggal di rumah Obed-Edom, orang Gat itu, dan Tuhan memberkati Obed-Edom serta seluruh keluarganya.

[12] Kemudian kepada Raja Daud dikhabarkan demikian, " Tuhan memberkati keluarga Obed-Edom dan semua miliknya kerana tabut Allah itu." Maka pergilah Daud mengangkut tabut Allah itu dari rumah Obed-Edom ke Kota Daud dengan penuh sukacita.

[13] Apabila para pengangkat tabut Tuhan itu melangkah maju enam langkah, dia mengorbankan seekor lembu dan seekor anak lembu yang tambun.

[14] Sebagai ungkapan syukur kepada Tuhan, Daud menari-nari dengan penuh semangat. Dia memakai jubah efod daripada kain linen.

[15] Demikianlah Daud dan seluruh keturunan kaum Israel mengangkut tabut Tuhan dengan sorak-sorai diiringi bunyi sangkakala.

[16] Ketika tabut Tuhan memasuki Kota Daud, Mikhal anak Saul melihat melalui jendela lalu terlihat betapa Raja Daud sedang melompat-lompat serta menari-nari di hadapan Tuhan. Lalu dalam hatinya dia memandang rendah terhadap Daud.

[17] Tabut Tuhan itu dibawa masuk, lalu diletakkan di tempatnya, di dalam khemah yang dibentangkan Daud untuk itu, kemudian Daud mempersembahkan korban bakaran dan korban kedamaian di hadapan Tuhan.

[18] Setelah Daud selesai mempersembahkan korban bakaran dan korban kedamaian, dia memohonkan berkat bagi bangsa itu dengan nama Tuhan alam semesta.

[19] Kemudian dia membahagi-bahagikan makanan kepada seluruh umat itu, iaitu kepada seluruh khalayak Israel itu, baik lelaki mahupun perempuan, masing-masing sebuku roti, sepotong daging, dan sekeping kuih kismis. Lalu pulanglah seluruh umat itu ke rumah masing-masing.

[20] Ketika Daud pulang untuk memberkati keluarganya, keluarlah Mikhal anak Saul menemui Daud dan berkata, "Alangkah mulianya raja Israel hari ini! Dia bertelanjang diri di hadapan mata budak-budak perempuan para pegawainya pada hari ini, seperti seorang tidak bertamadun yang bertelanjang diri tanpa rasa malu."

[21] Kata Daud kepada Mikhal, "Sebagai tanda syukur aku menari-nari bagi Tuhan yang telah memilih aku dan bukan memilih ayahmu atau sesiapa daripada seluruh keluarganya untuk menjadi pemimpin umat Tuhan, Israel. Dengan itu, aku akan terus menari-nari bagi Tuhan.

[22] Aku bahkan rela menghinakan diriku lebih lagi daripada itu, dan direndahkan di hadapan mataku sendiri. Tentang budak-budak perempuan yang kaukatakan itu, justeru daripada merekalah aku akan diberi hormat."

[23] Mikhal anak Saul tidak mempunyai anak sampai hari kematiannya.

2 Samuel — Chapters