Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 7:32

[1] Daud mengucapkan perkataan nyanyian ini kepada Tuhan ketika Tuhan menyelamatkannya daripada cengkaman semua musuhnya dan daripada tangan Saul.

[2] Dia berkata, " Tuhan ialah batu pejalku, kubuku, dan penyelamatku.

[3] Allahku batu pejalku, kepada-Nya aku berlindung. Dialah perisaiku, tanduk penyelamatanku, benteng pertahananku, dan penyelamatku. Engkau menyelamatkan aku daripada keganasan.

[4] Aku berseru kepada Tuhan yang patut dipuji, maka aku pun diselamatkan daripada musuhku.

[5] Sesungguhnya, gelora badai maut mengepungku, curahan banjir kebinasaan mengerikanku,

[6] seksa alam kubur melilit aku, rahang jerat maut mendesak aku.

[7] Maka dalam kesesakanku aku berseru kepada Tuhan, aku meraung kepada Allahku, dan Dia mendengar suaraku dari Bait Suci-Nya, raunganku sampai kepada pendengaran-Nya.

[8] Maka bumi pun gempa dan gementar, tapak langit bergegar dan bergoncang; kerana Dia murka.

[9] Asap naik daripada hidung-Nya, dan api daripada mulut-Nya menghanguskan, dan bara menyala keluar daripada-Nya.

[10] Dia menekuk langit lalu turun, kelam pekat ada di bawah kaki-Nya.

[11] Dia terbang mengenderai malaikat kerubin; Dia melayang di sayap angin.

[12] Dia menjadikan kegelapan di lelangit di sekeliling-Nya: diselubungi timbunan air kelam dan awan tebal di udara.

[13] Kerana cahaya di hadapan-Nya, bara api menyala.

[14] Tuhan mengguntur dari langit, Yang Maha Tinggi memperdengarkan suara-Nya.

[15] Dia melepaskan anak-anak panah-Nya sehingga tercerai-berailah mereka, iaitu kilat, sehingga kacaulah mereka.

[16] Lalu terlihatlah alur-alur laut, dan alas-alas dunia tersingkap oleh herdikan Tuhan, oleh hembusan nafas hidung-Nya.

[17] Daripada ketinggian Dia menjangkau dan mengambil aku, Dia menarik aku keluar daripada limpahan air.

[18] Dia menyelamatkan aku daripada musuhku yang gagah dan daripada kalangan yang membenci aku, kerana mereka terlalu kuat bagiku.

[19] Mereka bersemuka dengan aku pada hari bencanaku, tetapi Tuhan jualah sandaranku.

[20] Dia membawa aku keluar, ke tempat yang lapang, Dia menyelamatkan aku kerana Dia berkenan padaku.

[21] Tuhan memperlakukan aku selaras dengan perbenaranku. Dia membalas aku selaras dengan kesucian tanganku,

[22] kerana aku tetap mengikuti jalan-jalan Tuhan dan tidak menyeleweng daripada Allahku dengan melakukan kejahatan;

[23] kerana segala hukum-Nya ada di hadapanku, dan aku tidak berpaling daripada ketetapan-ketetapan-Nya.

[24] Aku tidak bercela di hadapan-Nya, dan aku menjaga diri daripada kesalahan.

[25] Oleh sebab itu Tuhan membalas aku selaras dengan perbenaranku dan selaras dengan kesucianku di hadapan mata-Nya.

[26] Kepada orang yang berbelas kasihan, Engkau memperlihatkan belas kasihan-Mu, kepada orang yang tidak bercela, Engkau memperlihatkan Diri-Mu tidak bercela,

[27] kepada orang yang suci, Engkau memperlihatkan kesucian-Mu, kepada orang yang menipu, Engkau memperlihatkan kearifan-Mu.

[28] Umat yang tertindas Kauselamatkan, tetapi mata-Mu memandang orang yang berhidung tinggi, agar mereka Kaurendahkan.

[29] Engkaulah pelitaku, ya Tuhan, dan Tuhan menerangi kegelapanku.

[30] Kerana Engkau, aku dapat menerobos suatu gerombolan, kerana Allahku aku dapat melompati tembok.

[31] Allah itu jalan-Nya sempurna, firman Tuhan memang teruji. Dialah perisai bagi semua orang yang berlindung kepada-Nya.

[32] Siapakah Allah selain Tuhan, dan siapakah batu pejal selain Allah kita?

[33] Allah bentengku yang teguh, Dia membuat jalanku tidak bercela.

[34] Dia menjadikan kakiku seperti kaki rusa dan menegakkan aku agar teguh di tempat-tempat yang tinggi.

[35] Dia mengajar tanganku berperang, sehingga lenganku dapat melenturkan busur gangsa.

[36] Engkau mengurniakan kepadaku perisai penyelamatan-Mu dan kelembutan-Mu menjadikan aku hebat.

[37] Engkau melapangkan tempat pijakanku, sehingga kakiku tidak tergelincir.

[38] Aku mengejar musuh-musuhku serta memusnahkan mereka, dan tidak kembali sebelum menumpaskan kesemua mereka.

[39] Aku menumpaskan mereka dan menghancurkan mereka, sehingga mereka tidak dapat bangkit lagi. Mereka rebah di bawah kakiku.

[40] Engkau telah melengkapkan aku dengan kekuatan untuk berperang, Mereka yang bangkit melawan aku Engkau taklukkan di bawahku.

[41] Engkau membuat musuh-musuhku lari membelakangiku. Kubinasakan kalangan yang membenci aku.

[42] Mereka mencari pertolongan, tetapi tidak ada yang menyelamatkan, mencarinya daripada Tuhan, tetapi Dia tidak menjawab mereka.

[43] Kuhancurkan mereka seperti debu tanah, kutumbuk dan kuinjak-injak mereka seperti lumpur di jalan.

[44] Engkau menyelamatkan aku daripada perbantahan rakyatku. Engkau memelihara aku sebagai kepala bangsa-bangsa, suku bangsa yang tidak kukenal menghambakan diri kepadaku.

[45] Orang asing tunduk kepadaku, baru sahaja mereka mendengar, mereka terus taat kepadaku.

[46] Orang asing menjadi putus asa dan keluar dari kubu-kubu mereka dengan gementar.

[47] Tuhan hidup! Segala puji bagi batu pejalku! Semoga Allah, batu pejal penyelamatanku, ditinggikan!

[48] Allah menuntut balas bagiku, dan menaklukkan suku-suku bangsa ke bawah kuasaku.

[49] Dialah yang membebaskan aku daripada musuh-musuhku. Engkau meninggikan aku demi mengatasi orang yang bangkit melawan aku, Engkau melepaskan aku daripada orang yang melakukan kekerasan.

[50] Oleh sebab itu aku akan mengucap syukur kepada-Mu, ya Tuhan, antara bangsa-bangsa, dan aku akan melantunkan puji-pujian atas nama-Mu.

[51] Tuhan memberikan penyelamatan besar kepada orang yang dijadikan-Nya raja; Dia melimpahkan kasih setia kepada orang yang diurapi-Nya, kepada Daud, sampai anak cucu selama-lamanya.

2 Samuel — Chapters