[1] Roh Kudus menyatakan dengan jelas bahawa pada akhir zaman sesetengah orang akan berpaling daripada iman, mengikut roh-roh yang memperdayakan dan ajaran roh-roh iblis.
[2] Ajaran ini disampaikan oleh pendusta yang munafik yang hati nuraninya bagaikan diselar besi panas.
[3] Mereka melarang orang berkahwin dan menegah orang memakan makanan yang telah dijadikan Allah untuk diterima dengan syukur oleh orang yang beriman dan mengetahui ajaran yang benar.
[4] Setiap ciptaan Allah itu baik, dan tiada suatu apa pun yang harus ditolak, asalkan diterima dengan syukur,
[5] kerana segalanya telah disucikan dengan firman Allah dan doa.
[6] Jika engkau mengajarkan hal-hal ini kepada saudara-saudara seiman, engkau akan menjadi hamba Kristus Yesus yang baik, yang dipupuk dengan kata-kata iman dan ajaran baik yang telah kauikut dengan teliti.
[7] Jauhilah cerita-cerita yang bercorak duniawi dan karut, serta latihlah diri menjadi orang yang salih.
[8] Latihan jasmani ada faedahnya, tetapi kesalihan berfaedah dalam segala hal, kerana memuat janji baik bagi kehidupan sekarang ataupun kehidupan akan datang.
[9] Kata-kata ini benar dan harus diterima sepenuhnya.
[10] Kita bekerja keras dan berjuang, kerana kita yakin kepada Allah yang hidup, Penyelamat semua manusia, terutamanya mereka yang beriman.
[11] Perintahkan dan ajarkanlah semua ini.
[12] Jangan biarkan sesiapa menghinamu kerana usiamu yang muda. Jadikan dirimu teladan kepada semua orang beriman dari segi kata-kata, kelakuan, kasih, iman dan kesucian.
[13] Hingga aku datang nanti, tumpukan perhatian kepada membaca Kitab Suci di khalayak ramai, menyampaikan firman dan mengajar orang.
[14] Jangan lalai dalam menggunakan kurnia yang diberikan kepadamu melalui nubuat ketika sekumpulan tua-tua jemaah meletakkan tangan ke atasmu.
[15] Lakukanlah hal-hal ini dengan rajin. Curahkan seluruh keupayaan dirimu kepadanya, supaya kemajuanmu jelas di mata semua orang.
[16] Berhematlah tentang dirimu dan ajaranmu. Lakukan terus-menerus, kerana dengan demikian engkau akan menyelamatkan dirimu dan mereka yang mendengar kata-katamu.