[1] Kata-kata ini benar: Jika seseorang ingin menjadi penyelia jemaah, maka dia ingin akan pekerjaan yang baik.
[2] Seorang penyelia jemaah haruslah tidak bercela. Dia harus beristeri seorang sahaja, mengamalkan kesederhanaan dan penguasaan diri, dihormati, meraikan tetamu dengan tangan terbuka, dan berkebolehan mengajar.
[3] Dia seharusnya bukan pemabuk, tidak melakukan kekerasan, lemah lembut, bukan kaki gaduh, dan tidak tamak akan wang.
[4] Dia mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik dan mendidik anak-anaknya supaya bersikap taat dan hormat.
[5] (Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia hendak mengurus jemaah Allah?)
[6] Dia seharusnya bukan seorang yang baru beriman, takut kalau-kalau dia menjadi sombong dan dikutuk seperti Iblis dahulu.
[7] Dia mestilah mempunyai nama yang baik dan dihormati oleh orang di luar jemaah, supaya dia tidak dicela dan terjerumus ke dalam perangkap Iblis.
[8] Penolong jemaah juga haruslah orang yang dihormati, bukan orang yang lidah bercabang, pemabuk atau mengejar keuntungan secara haram.
[9] Mereka hendaklah berpegang teguh pada rahsia iman dengan hati nurani yang suci.
[10] Tetapi mereka harus diuji terlebih dahulu dan jika didapati mereka tidak bercela, barulah dijadikan penolong jemaah.
[11] Begitu juga isteri mereka, mestilah orang yang dihormati, tidak memfitnah orang, mengamalkan kesederhanaan dan penguasaan diri, dan jujur dalam semua hal.
[12] Setiap penolong jemaah haruslah orang yang hanya beristeri satu dan mendidik anak-anak serta mengurus rumah tangga dengan baik.
[13] Penolong jemaah yang telah menjalankan tugas dengan baik akan dihormati dan menjadi amat yakin dalam iman dalam Kristus Yesus.
[14] Aku menuliskan hal-hal ini kepadamu, sungguhpun aku berharap akan dapat mengunjungimu tidak lama lagi.
[15] Namun demikian, kalau-kalau aku tidak dapat datang dengan cepat, aku menuliskannya supaya engkau tahu bagaimana seharusnya berkelakuan dalam keluarga Allah, iaitu jemaah Allah yang hidup, tiang dan asas kebenaran.
[16] Tidak dapat dinafikan betapa mulianya rahsia iman: Dia telah menampakkan diri sebagai manusia, dinyatakan benar oleh Roh Kudus, dilihat oleh para malaikat, dikhabarkan kepada bangsa-bangsa, dipercayai di seluruh dunia, dinaikkan dengan kemuliaan.