Skip to content
Opens in a new window

[1] Inilah perkhabaran daripada Allah tentang kota Niniwe. Perkhabaran ini dinyatakan dalam penglihatan kepada Nahum, seorang nabi yang berasal dari Elkos.

[2] TUHAN Allah tidak mahu mempunyai saingan; orang yang melawan-Nya pasti mendapat hukuman. Dengan sangat murka, Dia membalas dendam terhadap musuh-Nya.

[3] TUHAN tidak cepat murka, tetapi Dia berkuasa, dan Dia tidak pernah membebaskan orang yang melakukan kesalahan daripada hukuman. Di tempat TUHAN berjalan, muncul puting beliung dan taufan; awan ialah debu daripada kakinya.

[4] Atas perintah-Nya, laut menjadi kering; sungai pun dikeringkan. Padang-padang di Basan kersang, Gunung Karmel pun gersang, maka layulah bunga-bunga di Lebanon.

[5] Gunung-gunung bergoncang di hadirat TUHAN; bukit-bukit lebur di hadapan-Nya. Bumi bergempa ketika TUHAN tiba; gemparlah dunia dan semua penduduknya.

[6] Siapakah yang dapat tahan apabila TUHAN murka? Tiada sesiapa pun boleh terlepas daripada kemurkaan-Nya. Dia melampiaskan kemurkaan-Nya yang menyala-nyala, sehingga batu hancur dan menjadi debu di hadapan-Nya.

[7] TUHAN itu baik; Dia melindungi umat-Nya pada masa mereka susah, Dia menjaga orang yang berlindung kepada-Nya.

[8] Dia membinasakan semua musuh-Nya, Dia seperti banjir besar yang melanda mereka. Dia mencabut nyawa orang yang melawan kehendak-Nya.

[9] Kejahatan apakah yang kamu rancang terhadap TUHAN? Dia akan membinasakan kamu semua. Dia tidak perlu membalas dendam-Nya sampai dua kali terhadap musuh-Nya.

[10] Kamu pemabuk akan dibakar seperti jerami kering, seperti semak duri yang berbelit-belit.

[11] Daripadamu, hai Niniwe, sudah muncul seorang yang penuh dengan rancangan jahat. Dia membuat rancangan untuk melawan TUHAN.

[12] Inilah firman TUHAN kepada umat-Nya, “Walaupun orang Asyur kuat dan banyak, mereka akan dibinasakan lalu lenyap. Hai umat-Ku, meskipun Aku sudah menyebabkan kamu menderita, Aku tidak akan melakukannya lagi.

[13] Sekarang Aku akan mengakhiri kekuasaan Asyur atas kamu, dan Aku memutuskan rantai yang membelenggu kamu.”

[14] Inilah keputusan TUHAN tentang Asyur, “Mereka tidak akan mempunyai keturunan untuk meneruskan bangsa mereka. Aku akan menghancurkan patung-patung berhala yang di dalam kuil-kuil dewa mereka. Aku sedang menyediakan kubur untuk orang Asyur; mereka tidak layak hidup!”

[15] Lihatlah, seorang utusan datang melalui gunung-gunung untuk menyampaikan berita baik. Dia datang untuk mengisytiharkan kemenangan! Hai penduduk Yehuda, rayakanlah perayaan-perayaan kamu dan tunaikanlah nazar yang kamu janjikan kepada Allah. Orang jahat tidak sekali-kali akan menyerang negeri kamu lagi. Mereka sudah dibinasakan sama sekali.

Nahum — Chapters