Skip to content
Opens in a new window

[1] Dengarlah, hai para penguasa Israel! Kamu seharusnya mengambil berat tentang keadilan,

[2] tetapi kamu membenci kebaikan dan mencintai kejahatan. Kamu menguliti umat-Ku hidup-hidup dan mencarik daging mereka daripada tulang.

[3] Kamu menelan umat-Ku. Kamu menguliti mereka dan mematahkan tulang mereka. Kamu mencincang mereka seperti kamu mencincang daging untuk dimasak di dalam belanga.

[4] Masanya akan tiba apabila kamu akan berseru kepada TUHAN, tetapi Dia tidak akan menjawab. Dia tidak akan mengabulkan doa kamu, kerana kamu telah melakukan kejahatan.

[5] Umat-Ku telah ditipu oleh nabi-nabi yang menjanjikan keamanan kepada orang yang memberi mereka wang, tetapi mengancam dan memusuhi orang yang tidak memberikan apa-apa. TUHAN berfirman kepada nabi-nabi itu,

[6] “Hai nabi-nabi, akhir hidup kamu hampir tiba. Hari akan menjadi malam bagi kamu. Oleh sebab kamu menyesatkan umat-Ku, kamu tidak akan menerima wahyu atau penglihatan lagi. Kamu tidak dapat meramalkan apa-apa lagi.”

[7] Orang yang meramalkan masa depan akan dipermalukan kerana ramalan mereka tidak tepat. Mereka semua akan dihina kerana Allah tidak menjawab mereka.

[8] Tetapi bagi diriku, TUHAN memenuhi aku dengan kuasa dan Roh-Nya. Dia memberi aku pengertian tentang keadilan, dan juga keberanian untuk memberitahu umat Israel tentang dosa mereka.

[9] Dengarlah kata-kataku, hai para penguasa Israel, kamu yang membenci keadilan dan yang mengubah kebenaran menjadi kesalahan.

[10] Kamu membina Yerusalem, kota Allah, berasaskan pembunuhan dan ketidakadilan.

[11] Para penguasa kota menjalankan pemerintahan untuk mendapat rasuah, para imam mentafsirkan Taurat untuk mendapat upah, dan para nabi pula menyatakan wahyu untuk mendapat wang; tetapi mereka semua mengatakan bahawa TUHAN menyertai mereka. Mereka berkata, “Bencana tidak akan menimpa kita, kerana TUHAN menyertai kita.”

[12] Oleh sebab kejahatan kamu, Sion akan dibajak seperti tanah, Yerusalem dijadikan timbunan runtuhan, dan bukit tempat Rumah TUHAN akan menjadi hutan belukar.

Mikha — Chapters