[1] Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Hal-hal yang menyebabkan orang berbuat dosa pasti ada, tetapi malanglah orang yang menyebabkan hal-hal itu berlaku!
[2] Lebih baik jika batu kisaran diikat pada lehernya, lalu dia dibuang ke dalam laut, daripada dia menyebabkan salah seorang yang lemah imannya berbuat dosa.
[3] Berwaspadalah! Jika saudara kamu berdosa, tegurlah dia. Jika dia bertaubat, ampunilah dia.
[4] Jika dia berdosa terhadap kamu tujuh kali dalam sehari dan tiap-tiap kali dia datang kepada kamu serta berkata, ‘Saya minta ampun,’ kamu harus mengampuninya.”
[5] Rasul-rasul Yesus berkata kepada Yesus, “Tuhan, teguhkanlah iman kami.”
[6] Tuhan menjawab, “Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada pokok ara ini, ‘Tercabutlah dan tertanamlah di laut.’ Pasti pokok itu akan menurut perintah kamu.”
[7] “Andaikan seorang daripada kamu mempunyai seorang hamba yang sedang membajak atau menggembalakan domba. Apabila hamba itu balik dari ladang, adakah kamu berkata kepadanya, ‘Marilah dan makanlah’?
[8] Tentu tidak! Sebaliknya kamu akan berkata kepadanya, ‘Siapkanlah makananku. Kenakan pakaian yang bersih dan layanilah aku sementara aku makan dan minum, setelah itu barulah kamu makan.’
[9] Seorang hamba tidak perlu dipuji apabila dia menurut perintah tuannya, bukan?
[10] Demikian juga kamu. Apabila kamu sudah melakukan segala yang diperintahkan, berkatalah, ‘Kami hanya hamba biasa; kami hanya melakukan kewajipan.’ ”
[11] Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui sempadan Samaria dan Galilea.
[12] Apabila Dia memasuki sebuah pekan, sepuluh orang berpenyakit kulit yang mengerikan datang menjumpai Dia. Mereka berdiri dari jauh
[13] dan berseru, “Yesus! Tuan! Kasihanilah kami!”
[14] Yesus melihat mereka lalu berkata, “Pergilah dan mintalah imam mengesahkan kesembuhan kamu.” Dalam perjalanan ke sana mereka sembuh.
[15] Ketika seorang daripada mereka sedar bahawa dia sudah sembuh, dia berpatah balik sambil memuji Allah dengan suara yang kuat.
[16] Dia sujud di hadapan Yesus dan mengucapkan terima kasih kepada-Nya. Orang itu orang Samaria.
[17] Yesus berkata, “Bukankah sepuluh orang yang disembuhkan? Di manakah yang sembilan orang lagi?
[18] Mengapakah orang bangsa asing ini sahaja yang kembali untuk bersyukur kepada Allah?”
[19] Lalu Yesus berkata kepada orang itu, “Bangunlah dan pergilah; kamu sembuh kerana kamu percaya kepada-Ku.”
[20] Beberapa orang Farisi bertanya kepada Yesus, “Bilakah Allah akan datang untuk memerintah?” Yesus menjawab, “Pemerintahan Allah tidak bermula dengan tanda-tanda yang dapat dilihat,
[21] sehingga orang dapat berkata, ‘Lihatlah di sini!’ atau ‘Lihatlah di sana!’; kerana Allah sudah mula memerintah antara kamu.”
[22] Setelah itu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Masanya akan tiba apabila kamu berharap dapat melihat zaman Anak Manusia, tetapi kamu tidak dapat melihatnya.
[23] Nanti orang akan berkata kepada kamu, ‘Lihat, di situ!’ atau, ‘Lihat, di sini!’ Jangan kamu keluar mencarinya.
[24] Sebagaimana kilat memancar di langit lalu menerangi langit dari hujung ke hujung, demikian juga keadaan Anak Manusia pada masa itu.
[25] Tetapi terlebih dahulu Dia mesti mengalami banyak penderitaan dan tidak diterima oleh orang zaman ini.
[26] Seperti pada zaman Nabi Nuh dahulu, demikian juga halnya pada masa Anak Manusia kelak.
[27] Orang makan dan minum; lelaki dan perempuan berkahwin sehingga pada hari Nabi Nuh masuk ke dalam bahtera. Lalu air bah datang dan membinasakan mereka semua.
[28] Juga seperti pada zaman Lot; orang makan minum, berjual beli, bercucuk tanam, dan membina rumah.
[29] Tetapi pada hari Lot meninggalkan Sodom, api dan belerang turun dari langit dan membinasakan mereka semua.
[30] Demikianlah keadaannya pada hari Anak Manusia menampakkan diri.
[31] Pada hari itu, orang yang di bumbung rumah, janganlah turun untuk mengambil barang di dalam rumah. Begitu juga orang yang di ladang, janganlah balik ke rumah.
[32] Ingatlah akan apa yang sudah berlaku terhadap isteri Lot!
[33] Sesiapa yang berusaha mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati, tetapi sesiapa yang mengorbankan hidupnya akan menyelamatkannya.
[34] Percayalah, pada malam itu dua orang sedang tidur di atas sebuah katil; seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.
[35] Dua orang wanita sedang menggiling gandum; seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan. [
[36] Dua orang lelaki sedang di ladang; seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.]”
[37] Pengikut-pengikut Yesus bertanya, “Di mana, ya Tuhan?” Yesus menjawab, “Di tempat ada bangkai, di situ ada burung pemakan bangkai.”