[1] Apabila seseorang mempersembahkan salah seekor lembunya sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN, lembu itu boleh jantan atau betina, tetapi tidak boleh ada kecacatan.
[2] Orang itu harus meletakkan tangannya di atas kepala lembu itu, lalu menyembelihnya di hadapan pintu Khemah TUHAN. Imam-imam keturunan Harun akan menyiramkan darah lembu itu pada keempat-empat sisi mazbah,
[3] lalu mempersembahkan bahagian berikut daripada lembu itu sebagai persembahan makanan kepada TUHAN: semua lemak yang membungkus isi perut,
[4] buah pinggang dan lemaknya, serta bahagian yang terbaik daripada hati lembu itu.
[5] Imam-imam harus membakar semuanya di atas mazbah bersama-sama korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN.
[6] Jika yang dipersembahkan bagi korban untuk memohon berkat TUHAN itu, domba atau kambing, bolehlah binatang itu jantan atau betina, tetapi tidak boleh ada kecacatan.
[7] Jika seseorang mempersembahkan seekor domba, dia harus membawa domba itu ke Khemah TUHAN.
[8] Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala domba itu lalu menyembelihnya di hadapan Khemah TUHAN. Imam-imam akan menyiramkan darah domba itu pada keempat-empat sisi mazbah,
[9] lalu mempersembahkan bahagian berikut daripada domba itu sebagai persembahan makanan kepada TUHAN: lemak, seluruh ekor yang berlemak dan dipotong dekat tulang belakang, lemak yang membungkus isi perut,
[10] buah pinggang serta lemaknya, dan bahagian yang terbaik daripada hati domba itu.
[11] Imam yang bertugas akan membakar semuanya di atas mazbah sebagai persembahan makanan kepada TUHAN.
[12] Jika seseorang mempersembahkan seekor kambing, dia harus membawa kambing itu ke Khemah TUHAN.
[13] Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di hadapan Khemah TUHAN. Imam-imam akan menyiramkan darah kambing itu pada keempat-empat sisi mazbah,
[14] lalu mempersembahkan bahagian berikut daripada kambing itu sebagai persembahan makanan kepada TUHAN: semua lemak yang membungkus isi perut,
[15] buah pinggang serta lemaknya, dan bahagian yang terbaik daripada hati kambing itu.
[16] Imam yang bertugas akan membakar semuanya di atas mazbah. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. Semua lemak binatang adalah untuk TUHAN.
[17] Orang Israel sekali-kali tidak boleh makan lemak atau darah. Peraturan ini mesti dipatuhi oleh semua orang Israel sampai selama-lamanya, di mana sahaja mereka tinggal.