Skip to content
Opens in a new window

[1] TUHAN berfirman, “Pada masa itu Aku akan memulihkan kemakmuran Yehuda dan Yerusalem.

[2] Aku akan mengumpulkan semua bangsa dan membawa mereka ke Lembah Penghakiman. Aku akan menghakimi mereka di situ kerana segala perbuatan mereka terhadap umat-Ku. Mereka telah membuang umat-Ku ke berbagai negeri, dan membahagi-bahagikan tanah Israel, negeri milik-Ku.

[3] Mereka membuang undi untuk menentukan pemilik orang tawanan. Mereka menjual budak lelaki dan perempuan supaya dijadikan abdi. Mereka menggunakan wang yang diperoleh untuk membayar pelacur dan membeli wain.

[4] Apakah yang kamu cuba lakukan kepada-Ku, hai Tirus, Sidon, dan seluruh wilayah Filistea? Adakah kamu cuba membalas dendam terhadap Aku? Jika demikian, Aku akan membalas kamu dengan segera.

[5] Kamu telah merampas emas dan perak-Ku, serta membawa harta kekayaan-Ku ke dalam rumah berhala kamu.

[6] Kamu telah membawa penduduk Yehuda dan Yerusalem ke tempat yang jauh, serta menjual mereka kepada orang Yunani.

[7] Tetapi sekarang Aku membawa mereka keluar dari tempat-tempat kamu menjual mereka. Aku akan membalas kejahatan kamu terhadap mereka.

[8] Anak-anak lelaki dan perempuan kamu akan dijual kepada orang Yehuda; orang Yehuda pula akan menjual mereka kepada Syeba, negeri yang sangat jauh. Aku, TUHAN telah berfirman.

[9] Umumkanlah hal ini kepada bangsa-bangsa, ‘Bersiaplah untuk berperang, panggillah para pahlawan kamu; kumpulkanlah semua askar, dan maralah!

[10] Leburlah mata bajak untuk dijadikan pedang, dan juga sabit untuk dijadikan tombak. Hendaklah orang yang lemah turut berkata: Aku pahlawan.

[11] Marilah segera, hai bangsa-bangsa di sekitar, berkumpullah di lembah.’ ” Ya TUHAN, kirimlah tentera-Mu untuk menyerang mereka.

[12] TUHAN berfirman lagi, “Bangsa-bangsa mesti bersiap dan datang ke Lembah Penghakiman. Di sana Aku, TUHAN akan duduk dan menghakimi, semua bangsa di sekitar.

[13] Mereka sangat kejam, potonglah mereka seperti gandum pada musim menuai; peraslah mereka seperti buah anggur di tempat memeras buah anggur sehingga wain melimpah.”

[14] Beribu-ribu orang berada di Lembah Penghakiman. Di sanalah Hari TUHAN akan segera datang.

[15] Matahari dan bulan menjadi gelap, dan bintang-bintang tidak lagi bercahaya.

[16] Suara TUHAN bergemuruh dari Bukit Sion; Dia mengguntur dari Yerusalem; langit dan bumi bergoncang, tetapi Dia akan melindungi umat-Nya.

[17] “Oleh itu hai Israel, barulah kamu tahu, bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu. Aku tinggal di Sion, bukit-Ku yang suci. Yerusalem akan menjadi kota yang suci; orang bangsa asing tidak sekali-kali akan merampasnya lagi.

[18] Pada masa itu gunung akan diliputi ladang anggur; ternakan akan terdapat di tiap-tiap bukit; semua sungai di Yehuda akan penuh air. Sebatang sungai akan mengalir dari Rumah TUHAN; sungai itu akan mengairi Lembah Akasia.

[19] Mesir akan menjadi padang gurun, dan Edom menjadi timbunan puing, kerana mereka telah menyerang Yehuda dan membunuh penduduknya yang tidak bersalah.

[20] Aku akan membalas dendam bagi pihak mereka yang telah dibunuh; Aku tidak akan membiarkan orang yang bersalah terlepas. Tetapi Yehuda dan Yerusalem akan dihuni orang selama-lamanya, dan Aku, TUHAN akan tinggal di Bukit Sion.”

Yoel — Chapters