Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 5:51

[1] Imam Melkisedek ialah raja Salem dan imam Allah Yang Maha Tinggi. Ketika Abraham balik dari peperangan mengalahkan empat orang raja, Melkisedek menjumpainya dan memberkatinya.

[2] Lalu Abraham memberi Melkisedek sepersepuluh daripada segala apa yang dirampasnya. (Pertama sekali nama Melkisedek bermakna “Raja Keadilan.” Oleh sebab dia raja Salem, namanya juga bermakna “Raja Kesejahteraan.”)

[3] Tidak ada catatan tentang ibu bapa Melkisedek ataupun nenek moyangnya. Tidak ada catatan tentang kelahirannya ataupun kematiannya. Dia seperti Anak Allah; dia menjadi imam selama-lamanya.

[4] Lihatlah betapa tingginya kedudukan Melkisedek. Abraham, bapa bangsa kita, memberi dia sepersepuluh daripada segala yang didapatinya daripada peperangan itu.

[5] Menurut hukum Taurat, imam-imam keturunan suku Lewi harus memungut sepersepuluh daripada pendapatan umat Israel, iaitu saudara-saudara mereka sendiri, walaupun mereka juga keturunan Abraham.

[6] Melkisedek bukan keturunan suku Lewi, tetapi dia menerima sepersepuluh daripada apa yang sudah diterima oleh Abraham, dan memberkati yang telah menerima janji Allah.

[7] Tidak dapat diragukan lagi bahawa orang yang diberkati lebih rendah kedudukannya daripada orang yang memberkati.

[8] Imam-imam yang memungut sepersepuluh bahagian itu manusia biasa yang tentu akan mati. Tetapi menurut Alkitab, Melkisedek yang menerima sepersepuluh bahagian itu tetap hidup.

[9] Boleh dikatakan bahawa ketika Abraham membayar sepersepuluh bahagian itu, Lewi juga membayarnya (walaupun keturunannya memungut sepersepuluh bahagian daripada umat Israel.)

[10] Pada masa Melkisedek berjumpa dengan Abraham, Lewi belum lahir tetapi boleh dikatakan sudah ada di dalam tubuh Abraham nenek moyangnya.

[11] Imam-imam keturunan Lewi merupakan asas hukum Taurat, yang diberikan kepada umat Israel. Jika apa yang dilakukan imam-imam suku Lewi dahulu itu sempurna, maka tidak perlu ada imam lain seperti Imam Melkisedek, yang bukan keturunan Imam Harun.

[12] Apabila ada perubahan dalam keimaman, hukum Taurat pun mesti berubah.

[13] Yang dimaksudkan di sini adalah Tuhan kita. Dia daripada suku lain, dan belum pernah seorang pun daripada suku-Nya bertugas sebagai imam.

[14] Semua orang tahu bahawa Tuhan kita berasal daripada suku Yehuda; dan Musa tidak pernah menyebut suku itu ketika dia berucap tentang imam-imam.

[15] Hal yang dibincangkan itu menjadi lebih jelas sekarang: Seorang imam lain sudah datang, imam seperti Melkisedek.

[16] Dia dilantik menjadi imam, tidak menurut hukum atau peraturan manusia, tetapi berdasarkan hidupnya yang berkuasa dan tidak berkesudahan.

[17] Di dalam Alkitab tertulis, “Engkau akan menjadi imam selama-lamanya, seperti Imam Melkisedek.”

[18] Oleh itu peraturan yang lama telah dibatalkan, kerana lemah dan tidak berguna.

[19] Taurat Musa tidak dapat menyempurnakan sesuatu pun. Sekarang kita diberikan suatu harapan yang lebih baik, dan dengannya kita dapat mendekati Allah.

[20] Tambahan pula, semua itu disertai sumpah daripada Allah. Apabila imam-imam lain dilantik, tidak ada sumpah seperti itu.

[21] Tetapi Yesus diangkat menjadi imam dengan sumpah, ketika Allah berfirman kepada-Nya, “Tuhan sudah bersumpah, dan tidak akan mengubah fikiran, ‘Engkau akan menjadi imam selama-lamanya.’ ”

[22] Dengan sumpah itu, Yesus menjadi jaminan suatu perjanjian yang lebih baik.

[23] Ada satu hal lagi: imam-imam lain itu banyak bilangannya kerana mereka mati dan tidak dapat meneruskan tugas.

[24] Tetapi Yesus hidup selama-lamanya dan tugas-Nya sebagai imam tidak beralih kepada orang lain.

[25] Oleh itu, baik sekarang ataupun selamanya, Dia dapat menyelamatkan orang yang datang kepada Allah melalui-Nya, kerana Dia hidup selama-lamanya untuk memohon kepada Allah bagi mereka.

[26] Dengan demikian, Yesuslah Imam Agung yang kita perlukan. Dia suci; pada-Nya tidak terdapat kesalahan ataupun dosa. Dia dipisahkan daripada orang berdosa, dan dinaikkan ke tempat yang lebih tinggi daripada langit.

[27] Dia tidak seperti imam-imam agung lain, yang setiap hari harus mempersembahkan korban, pertama sekali untuk dosa sendiri dan kemudian untuk dosa umat. Yesus mempersembahkan korban sekali sahaja untuk selama-lamanya, ketika Dia mempersembahkan diri-Nya sendiri sebagai korban.

[28] Taurat Musa melantik manusia yang tidak sempurna menjadi imam agung. Tetapi janji Allah yang disertai sumpah dan yang datang kemudian daripada Taurat telah menjadikan Anak, Penyelamat yang sempurna selama-lamanya.

Ibrani — Chapters