Skip to content
Opens in a new window

[1] “Seluruh suku Lewi, termasuk para imam tidak boleh menerima bahagian tanah di Israel, tetapi mereka akan menerima sebahagian persembahan dan korban lain yang diberikan kepada TUHAN.

[2] Yang diterima mereka itu adalah warisan mereka, sebagaimana yang sudah dijanjikan TUHAN. Itulah sebabnya mereka tidak boleh memiliki tanah seperti suku-suku lain.

[3] Apabila lembu atau domba dipersembahkan sebagai korban, maka bahagian bahu, rahang, dan perut binatang itu harus diberikan kepada imam.

[4] Para imam harus diberikan hasil pertama daripada biji-bijian, wain, minyak zaitun, dan bulu domba.

[5] TUHAN memilih suku Lewi antara semua suku kamu untuk mengabdi kepada-Nya sebagai imam selama-lamanya.

[6] Sesiapa sahaja orang Lewi yang berasal dari kota mana pun di Israel, boleh datang ke satu tempat ibadat itu,

[7] dan boleh mengabdi kepada TUHAN, Allahnya sebagai imam, seperti orang Lewi lain yang bertugas di sana.

[8] Dia harus diberikan makanan sebanyak yang diterima oleh imam-imam lain, dan dia boleh menyimpan apa sahaja yang dikirim oleh keluarganya.”

[9] “Apabila kamu sampai ke tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu, jangan ikut perbuatan keji yang diamalkan oleh bangsa-bangsa yang tinggal di sana.

[10] Jangan persembahkan anak-anak kamu sebagai korban yang dibakar di atas mazbah. Jangan biar sesiapa pun di kalangan kamu menjadi tukang tenung, atau mencari petanda, atau menggunakan jampi

[11] atau ilmu sihir, atau mengadakan hubungan dengan roh orang mati.

[12] TUHAN, Allah kamu membenci orang yang melakukan perbuatan keji itu. Itulah sebabnya Dia mengusir bangsa-bangsa itu dari tanah itu apabila kamu datang.

[13] Kamu harus setia dengan sepenuhnya kepada TUHAN, Allah kamu.”

[14] Kemudian Musa berkata, “Bangsa-bangsa di tanah yang akan kamu duduki itu mengikut nasihat tukang tenung dan orang yang mencari petanda, tetapi TUHAN, Allah kamu tidak membenarkan kamu melakukan perkara itu.

[15] Sebaliknya TUHAN, Allah kamu akan mengutus seorang nabi kepada kamu; nabi itu akan seperti aku dan dia daripada bangsa kamu sendiri; kamu mesti taat kepadanya.

[16] Pada waktu kamu berkumpul di Gunung Sinai, kamu memohon supaya kamu tidak lagi mendengar TUHAN berfirman, atau melihat hadirat-Nya yang bernyala-nyala, kerana kamu takut mati.

[17] Oleh itu TUHAN berfirman kepadaku, ‘Permintaan mereka itu bijak.

[18] Aku akan mengutus seorang nabi kepada mereka, nabi seperti engkau, dan yang daripada bangsa mereka sendiri. Aku akan menyampaikan firman-Ku kepadanya, dan dia akan menyampaikan segala perintah-Ku kepada umat itu.

[19] Nabi itu akan berkata-kata demi nama-Ku, dan Aku akan menghukum setiap orang yang tidak mahu taat kepadanya.

[20] Tetapi jika seorang nabi berani menyampaikan perkhabaran demi nama-Ku, tetapi sebenarnya Aku tidak menyuruh dia berbuat begitu, nabi itu mesti mati. Setiap nabi yang berkata-kata demi nama tuhan-tuhan lain mesti mati.’

[21] Mungkin kamu tertanya-tanya dalam hati, ‘Bagaimana kami tahu sama ada perkhabaran nabi itu berasal daripada TUHAN atau tidak?’

[22] Jika seorang nabi berkata-kata demi nama TUHAN, dan yang dikatakannya itu tidak berlaku, maka perkhabaran itu bukanlah perkhabaran daripada TUHAN. Nabi itu telah berkata-kata dengan mengikut fikiran sendiri, dan kamu tidak usah takut kepada dia.”

Ulangan — Chapters