[1] Hai umat Israel, dengarlah perkhabaran TUHAN tentang segenap bangsa kamu, yang sudah dibawa-Nya keluar dari Mesir. TUHAN berfirman,
[2] “Daripada semua bangsa di dunia, kamulah satu-satunya bangsa yang Aku kenal dan pelihara. Itulah sebabnya dosa kamu besar, dan Aku mesti menghukum kamu.”
[3] Bolehkah dua orang berangkat bersama-sama tanpa berjanji untuk berjumpa lebih dahulu?
[4] Adakah singa mengaum di hutan, jika belum mendapat mangsa? Adakah anak singa mengaum di dalam lubangnya, jika belum menangkap apa-apa?
[5] Bolehkah burung terjebak dalam perangkap, jika perangkap tidak berumpan? Bolehkah perangkap membingkas jika tiada yang tertangkap?
[6] Jika trompet tanda perang dibunyikan, tidakkah orang di kota ketakutan? Bolehkah bencana menimpa sesuatu kota, jika TUHAN tidak mendatangkan bencana itu?
[7] TUHAN Raja tidak pernah melakukan sesuatu pun tanpa menyatakan rancangan-Nya kepada para nabi, hamba-hamba-Nya.
[8] Apabila singa mengaum, siapakah tidak takut? Apabila TUHAN Raja berfirman, siapakah dapat berdiam diri dan tidak mengisytiharkan perkhabaran-Nya?
[9] Umumkanlah perkhabaran ini kepada orang yang tinggal di istana Mesir dan Asdod, “Berkumpullah di bukit-bukit di sekitar Samaria, dan lihatlah huru-hara serta jenayah yang berlaku di sana.”
[10] TUHAN berfirman, “Penduduk Samaria mengisi rumah besar mereka dengan benda-benda yang diperoleh daripada kejahatan dan kekejaman. Mereka sama sekali tidak tahu berlaku jujur.
[11] Oleh itu musuh akan mengepung negeri mereka, memusnahkan pertahanan, dan menjarah rumah besar mereka.”
[12] TUHAN berfirman, “Seperti seorang gembala yang hanya mendapat sepasang kaki atau sepotong telinga dombanya yang diterkam oleh singa, demikian juga yang akan berlaku; hanya sedikit orang yang akan terselamat antara penduduk Samaria yang sekarang berbaring di atas tempat tidur yang serba mewah.”
[13] TUHAN Raja Yang Maha Kuasa berfirman, “Sekarang dengarlah, dan berikanlah amaran kepada keturunan Yakub.
[14] Pada hari Aku menghukum orang Israel kerana dosa mereka, Aku akan memusnahkan mazbah-mazbah di Betel. Setiap mazbah akan dipatahkan unjuran-unjurannya sehingga jatuh ke tanah.
[15] Aku akan memusnahkan rumah musim sejuk dan rumah musim panas. Rumah yang dihias dengan gading akan roboh; semua rumah besar akan dimusnahkan.