[1] Surat ini daripada Paulus, Silas, dan Timotius, serta ditujukan kepada jemaah di Tesalonika, yang menjadi umat Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus.
[2] Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.
[3] Saudara-saudaraku, kami harus sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu. Memang sepatutnya kami berbuat demikian, kerana kamu semakin percaya kepada Yesus dan kamu semakin mengasihi satu sama lain.
[4] Itulah sebabnya kami membanggakan kamu antara jemaah Allah di tempat lain. Dengan bangga kami menceritakan bagaimana kamu tetap percaya kepada Kristus semasa mengalami penganiayaan dan penderitaan.
[5] Di sini nyata betapa adilnya penghakiman Allah: Allah akan menjadikan kamu layak untuk menikmati Dunia Baru Allah, yang baginya kamu telah mengalami penderitaan.
[6] Allah akan melakukan apa yang adil. Dia akan mendatangkan penderitaan kepada orang yang membuat kamu menderita.
[7] Dia pun akan memberikan kelegaan kepada kamu yang menanggung penderitaan dan juga kepada kami. Allah akan melakukan hal ini apabila Tuhan Yesus turun dari syurga dan menampakkan diri dengan malaikat-malaikat-Nya yang perkasa,
[8] dan dengan api yang bernyala-nyala. Dia datang untuk menghukum orang yang tidak mahu mengakui Allah dan orang yang tidak mahu mentaati Berita Baik tentang Yesus Tuhan kita.
[9] Mereka akan menerima hukuman kebinasaan selama-lamanya; mereka akan terpisah daripada hadirat Tuhan dan kekuasaan-Nya yang mulia.
[10] Semua itu akan berlaku, apabila Tuhan datang pada Hari itu kelak untuk menerima kemuliaan daripada semua umat-Nya dan penghormatan daripada semua orang yang percaya kepada-Nya. Kamu pun akan bersama-sama umat Allah itu, kerana kamu percaya kepada perkhabaran yang kami sampaikan.
[11] Itulah sebabnya kami sentiasa mendoakan kamu. Kami berdoa supaya Allah menjadikan kamu layak untuk hidup menurut kehendak-Nya; untuk hal itulah Dia telah memanggil kamu. Semoga Allah dengan kekuasaan-Nya memenuhi segala keinginan kamu untuk berbuat baik, dan menyempurnakan segala usaha yang kamu lakukan, kerana percaya kepada Kristus.
[12] Dengan demikian Yesus Tuhan kita akan kamu muliakan dan kamu pun akan dimuliakan oleh-Nya. Semuanya akan berlaku kerana rahmat Allah kita dan rahmat Tuhan Yesus Kristus.