Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:54

[1] Pertama sekali aku menggesa supaya doa permohonan dan ucapan syukur disampaikan kepada Allah untuk semua orang,

[2] untuk raja-raja dan semua penguasa. Berdoalah kepada Allah supaya kita boleh hidup dengan aman dan tenteram. Kita harus menghormati Allah, dan berlaku sopan terhadap orang lain.

[3] Hal ini baik dan menyenangkan hati Allah, Penyelamat kita.

[4] Dia mahu semua orang diselamatkan serta mengetahui ajaran benar tentang penyelamatan,

[5] kerana hanya ada satu Allah dan hanya ada satu yang dapat memimpin manusia kepada Allah, iaitu Kristus Yesus yang datang ke bumi sebagai manusia.

[6] Dia telah menyerahkan diri-Nya untuk menyelamatkan manusia daripada dosa. Hal ini membuktikan bahawa pada waktu yang tepat, Allah menghendaki semua orang diselamatkan.

[7] Itulah sebabnya aku diutus sebagai rasul dan guru kepada orang bukan Yahudi untuk memberitakan perkhabaran tentang iman yang benar. Aku tidak berdusta. Aku mengatakan yang benar!

[8] Aku mahu orang lelaki berdoa di mana-mana sahaja dengan hati yang suci, tanpa kemarahan ataupun pertengkaran.

[9] Aku juga mahu kaum wanita menghias diri dengan sederhana dan mengenakan pakaian yang senonoh. Jangan dandani diri dengan potongan rambut yang bukan-bukan, atau perhiasan emas atau mutiara, atau pakaian yang mahal-mahal.

[10] Sebaliknya, wanita harus menghias diri dengan perbuatan baik yang sepatutnya dilakukan oleh wanita yang mengabdikan diri kepada Allah.

[11] Wanita harus belajar dengan berdiam diri dan dengan rendah hati.

[12] Aku tidak membenarkan wanita mengajar ataupun memerintahi lelaki; wanita mesti berdiam diri.

[13] Hal ini demikian kerana Adam yang diciptakan dahulu, kemudian barulah Hawa.

[14] Lagi pula bukan Adam yang ditipu, tetapi wanita yang tertipu, sehingga melanggar perintah Allah.

[15] Meskipun demikian wanita akan diselamatkan dengan melahirkan anak, jika dengan rendah hati mereka tetap beriman, mengasihi orang lain, dan hidup suci.

1 Timotius — Chapters