Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:18

[1] Inilah firman Tuhan yang turun kepada Zefanya anak Kusyi anak Gedalya anak Amarya anak Hizkia pada zaman pemerintahan Yosia anak Amon, raja Yehuda.

[2] "Aku akan melenyapkan sama sekali segala sesuatu daripada muka bumi," demikianlah firman Tuhan.

[3] "Aku akan melenyapkan manusia dan binatang, burung di udara dan ikan di laut. Aku akan menumbangkan orang fasiq dan melenyapkan manusia daripada muka bumi," demikianlah firman Tuhan.

[4] "Aku akan menjangkaukan tangan-Ku melawan Yehuda dan seluruh penduduk Yerusalem. Akan Kulenyapkan di tempat ini saki-baki Baal dan nama para imam berhala serta para imam;

[5] juga kalangan yang sujud menyembah kepada cakerawala langit di atas atap-atap rumah; dan kalangan yang sujud menyembah serta bersumpah demi Tuhan, tetapi bersumpah juga demi Milkom;

[6] dan kalangan yang berpaling meninggalkan Tuhan, yang tidak mencari hadirat Tuhan dan tidak mendapatkan petunjuk-Nya.

[7] Berdiam dirilah di hadirat Tuhan Allah, kerana hari Tuhan sudah dekat. Sungguh, Tuhan telah menyiapkan upacara korban, dan telah menyucikan para undangan-Nya.

[8] "Pada hari upacara korban Tuhan itu, Aku akan menghukum para pembesar, anak-anak raja, dan semua orang yang memakai pakaian asing.

[9] Pada hari itu Aku akan menghukum semua orang yang melompati ambang pintu dan yang memenuhi rumah tuan mereka dengan keganasan serta tipu daya."

[10] "Pada hari itu juga," demikianlah firman Tuhan, "akan terdengar teriakan dari Pintu Gerbang Ikan, raungan daripada kejiranan kota kedua itu, dan bunyi keruntuhan sebegitu kuat dari bukit-bukit.

[11] Meraung-raunglah, wahai penduduk Maktes, kerana seluruh warga kaum pedagang sudah dikelukan dan telah lenyap semua pedagang perak.

[12] Pada waktu itu Aku akan menyuluh dan menggeledah Yerusalem dan menghukum orang yang bertunjang dalam kemungkaran mereka, yang berkata dalam hati mereka, ' Tuhan tidak akan berbuat baik dan tidak akan berbuat jahat.'

[13] Kekayaan mereka akan dijarah dan rumah-rumah mereka akan punah-ranah. Mereka akan membangunkan rumah tetapi tidak akan menghuninya; mereka akan menanam kebun anggur tetapi tidak akan minum air anggurnya."

[14] "Hari Tuhan yang besar itu sudah dekat, amat dekat dan sedang datang dengan sebegitu cepat. Dengar, hari Tuhan itu pahit, kesateria pun akan memekik-mekik di dalamnya.

[15] Hari itu hari kemurkaan, hari penderitaan dan pembinasaan, hari kehancuran dan kebinasaan, hari kegelapan dan kekelaman, hari berawan dan kelam pekat.

[16] Hari peniupan sangkakala dan laungan perang menentang kota-kota yang berkubu serta menara penjuru yang tinggi-tinggi.

[17] Aku akan mendatangkan penderitaan atas manusia, hinggakan mereka berjalan seperti orang buta, kerana mereka telah berdosa terhadap Tuhan. Darah mereka akan tertumpah seperti debu dan daging mereka seperti najis.

[18] Perak ataupun emas mereka tidak mampu menyelamatkan mereka pada hari kemurkaan Tuhan. Seluruh bumi habis dimamah oleh api cemburu-Nya, kerana suatu kesudahan yang sungguh dahsyat akan diadakan-Nya terhadap seluruh penduduk bumi."

Zefanya — Chapters